Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Shooting Dalam Ribut Taufan, Kru Berkampung 3 Bulan Tengah-Tengah Laut! Penerbit Cerita Payahnya Buat Filem Coast Guard

Amri Hassan
31/01/2023 12:26 MYT
Penerbit filem Coast Guard, Muhammad Hady Yusry Makmor memberitahu pihaknya berdepan pelbagai cabaran sepanjang penggambaran filem aksi unit beruniform tersebut.

Jelas Hady, cabaran utama mereka apabila berdepan dengan cuaca yang buruk termasuk ribut taufan yang melanda sepanjang penggambaran di Pulau Langkawi.

"Sepanjang 18 tahun terbabit dalam bidang pemasaran dan penerbitan filem, penggambaran filem Coast Guard adalah paling mencabar. Barisan pelakon dan kru terpaksa berkampung selama tiga bulan dalam kapal besar yang berlabuh di tengah laut untuk penggambaran filem.

"Kami juga perlu melihat jadual penggunaan aset ketenteraan Maritim Malaysia dengan keadaan cuaca, selain aset sedia ada perlu digunakan dalam operasi Maritim.

"Sehari selepas penggambaran selesai, arwah Pitt pula meninggal dunia. Rozita dan Arie terpaksa menyambung kerja penggambaran lagi dua peratus di lokasi darat pula.

"Bayangkan, kami terpaksa mengambil alih tugas pengarah untuk menvisualkan semula untuk proses suntingan akhir filem ini," katanya.

Selain itu, tambah Hady, barisan pelakon utama turut berdepan detik mencemaskan ketika penggambaran babak aksi filem itu.

"Saharul berdepan detik mencemaskan dan hampir lemas di tengah laut ketika menunggu diselamatkan helikopter. Julia juga hampir lemas kerana topeng selam tercabut ketika menjayakan sesi latihan dalam air di AMSAS.

"Mujurlah pasukan penyelamat cekap bertindak bagi membantu menyelamatkan mereka," katanya.

Mengetengahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang menjaga keselamatan perairan negara, filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang sentuhan Allahyarham Pitt Hanif sarat dengan aksi mendebarkan yang pastinya menyentuh emosi untuk menarik penonton ke pawagam.

Filem genre aksi unit beruniform terbitan Flying Deals Sdn Bhd dan Arie Zaharie Production dengan kerjasama Maritim Malaysia itu menampilkan gandingan hebat dua aktor dan aktres popular tanah air iaitu Saharul Ridzwan dan Julia Farhana Marin selaku teraju utama.

Ia dimantapkan dengan penampilan barisan pelakon seperti Adlin Aman Ramlee, Datuk Fizz Fairuz, Sabri Yunus, Kodi Rasheed, Gambit Saifullah, Aziz M Osman, Sherie Merlis, Wanna Ali, Jaja Iliyes, Aman Nassim, Yuznor, Azlan Komeng, Hushairi Husain, Akmal Ahmad, Eqy Affandi, Iman Zulkarnain dan Trisha Ooi.

Ia bakal ditayangkan di semua pawagam seluruh negara bermula 2 Februari ini, termasuk tayangan serentak di Singapura dan Brunei.

#Saharul Ridzwan #Filem #Julia Farhana #Coast Guard
;