Perlaksanaan PKP 3.0 turut menjejaskan produksi drama rantaian popular Hati Yang Dikhianati apabila penggambaran terpaksa ditangguhkan dan diberi ruang kepada Derita Untuk Bahagia.

Mengulas mengenai perkara itu, kata pelakon utama HYD, Amar Baharin, dirinya agak terkilan namun perlu mengikut arahan terbabit demi keselamatan semua pihak.

"Agak terkilan kerana terpaksa ditunda. Tapi kami reda dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan agar kita sama-sama dapat mengawal kadar kebolehjangkitan Covid-19 untuk kebaikan kita bersama.

"Saya mewakili penonton-penonton setia HYD mengharapkan supaya tayangan HYD dapat diteruskan setelah semuanya beransur pulih insyaallah," katanya.

Dalam pada itu, Amar menyarankan agar orang ramai memanfaatkan masa sepanjang tempoh lockdown untuk memperbanyakkan amalan sunat dan meluangkan masa bersama keluarga.

"Nasihat saya kepada audience sepanjang lockdown ni supaya sentiasa mengamalkan cara hidup sihat sepanjang berada di rumah. Cuba buat sesuatu yang bermanfaat yang mungkin kita jarang dapat buat sebelum ini kerana kekangan masa contoh hafal surah Al-Mulk, Al-Kahfi, berpuasa sunat Isnin & Khamis atau puasa Hari Putih.

"Selain itu, banyakkan solat-solat sunat (Tahajjud, Witir, Duha, Hajat ) dan bagi yang memasak, boleh cuba menu-menu baru untuk keluarga," tambahnya.

Astro Prima dan syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd. mengambil keputusan menghentikan sebarang aktiviti penggambaran drama adaptasi Hati Yang Dikhianati (HYD) yang kini masih lagi ditayangkan menerusi slot Tiara.

Keputusan itu dibuat susulan perlaksanaan PKP 3.0 melibatkan sekatan pergerakan skala penuh bagi sektor sosial dan ekonomi yang dikeluarkan oleh kerajaan atas faktor keselamatan.

Menerusi kenyataan dikeluarkan, perubahan itu akan memberi kesan kepada slot jadual siaran drama tersebut yang juga terpaksa direhatkan buat sementara waktu bagi episod ke-41 dan seterusnya bermula Isnin depan, 7 Jun 2021.

Drama bersiri terbaharu ‘Derita Untuk Bahagia’ akan mengambil alih slot tersebut dan akan ditayangkan secara eksklusif buat pertama kali mulai 7 Jun ini.

A post shared by Amar Baharin (@amarbaharin)