Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

'Shopping Online' Lebih RM1,000 Mungkin Akan Dikenakan Caj 20sen

Fiza Kamarudin
08/09/2020 10:43 MYT
Kerajaan bercadang mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 20 sen bagi pembelian di bawah RM1,000 melalui platform dalam talian termasuk portal e-dagang, Lazada dan Shopee.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, ia sebagai langkah supaya dapat menambah kewangan atau mengumpul dana khas bagi membantu golongan B40 termasuk menambah baik pembangunan komunikasi di luar bandar.

"Perkara ini sedang dalam mesyuarat dan perancangan untuk kita bentangkan kepada kerajaan supaya dapat mencari sumber lain yang tidak membebankan rakyat dan dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Maka, bayaran tambahan ini seakan caj perkhidmatan yang akan dikenakan dan sekiranya pembelian itu lebih RM1,000 maka caj tambahan dikenakan adalah 40 sen," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Merdeka@Komuniti Peringkat Kelantan di Pengkalan Petah, hari ini.

Bagaimanapun katanya, pihaknya belum menetapkan minimum pembelian yang membolehkan caj perkhidmatan itu dikenakan.

"Ini bukan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana sekarang ini, banyak pembelian dalam talian tidak membayar cukai sekali gus menyebabkan kerugian dan ketirisan hasil kerajaan berlaku.

"Untuk mengenakan cukai ia rumit dan perlu diluluskan oleh Parlimen menyebabkan kita perlu memperkenalkan caj perkhidmatan ini," katanya.

Sumber: BERNAMA & Harian Metro

#Berita Semasa #Caj 20sen #Shopping Online
;