Pengacara popular Neelofa berkongsi situasi mencemaskan sebelum negara Itali mendapat perintah berkurung akhir Februari lalu.

Jelas Neelofa yang berada di negara tersebut sempena Milan Fashion Week 2020, mereka dikejutkan dengan pembatalan pertunjukan fesyen saat akhir pada 23 Februari lalu.

"Tarikh 23 Februari antara pertunjukan fesyen terakhir di sana sebelum saya ke Paris.

"Ketika itu pukul 4.30 petang dan saya sedang bersiap untuk ke Michael Kors Party yang dijadualkan pukul 6 petang tetapi tiba-tiba kami mendapat mesej bahawa acara itu dibatalkan.

"Ia macam mengejut sebab sebelum itu orang ramai keluar seperti biasa dan tempat tumpuan pelancong pun padat. Malah, tak ada orang pun bercakap pasal Covid-19, seolah-olah semuanya normal.

"Jadi, saya putuskan untuk berada di bilik hotel dan mujurlah kami tak keluar makan sebaliknya mengambil masa untuk mengemaskan barang untuk berangkat ke Paris keesokan paginya.

"Setibanya di Paris, saya mendapat berita bahawa Milan sudah Lockdown. Syukur kami sempat keluar kalau tidak akan tersangkut di sana," katanya menerusi sesi Live Instagram Berseorangan Bersama dengan selebriti Nora Danish pada Khamis.

Tambah Neelofa, situasi di lapangan terbang di Itali ketika itu dibanjiri oleh orang ramai yang sudah memakai topeng muka.

"Keadaan di lapangan terbang ketika itu ramai orang bertopeng. Tiba-tiba pada tarikh itu juga ada sejumlah kes positif Covid-19 dilaporkan secara mendadak di sana," tambahnya.

Justeru, Neelofa mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengikuti arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan bagi mengelakkan wabak ini terus menular.

"Kita di Malaysia sekurang-kurangnya ada fasa demi fasa bukan seperti Itali yang terus mendapat arahan secara mengejut.

"Mereka tiada masa untuk mencerna pun apa yang berlaku sebaliknya tiada pilihan lain selain mengikut arahan.

"Jadi, kita sepatutnya belajar sesuatu dari Itali dan lebih bersikap tenang. Itu yang ramai tak buat sebenarnya!

"Selain panic buying, ramai yang mengambil kesempatan untuk balik kampung dan menganggap situasi ini sebahagian daripada cuti. Sampai ada yang buat potluck," getusnya.

Sehingga tengahari Jumaat sebanyak 245,670 kes positif Covid-19 dilaporkan melibatkan 10,049 kematian seluruh dunia.

Pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!