Hiburan
Showcase Virtual Dayang Nurfaizah Malam Raya Kedua
Penyanyi popular Dayang Nurfaizah bakal tampil dengan Showcasae Virtual Dayang Nurfaizah pada Syawal kedua ini.
Bakal disiarkan secara virtual menerusi saluran YouTube Indigital Music, showcase maya ini turut menampilkan beberapa buah lagu daripada album terdahulu yang pastinya seleksi tersebut akan mengimbau kembali kegemilangan Dayang di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).
Hanya menggunakan telefon untuk proses rakaman, showcase virtual yang akan ditayangkan pada hari raya kedua (25 Mei 2020) itu turut mendapat sentuhan dan susun atur muzik oleh Tze Wan.
“Saya faham dengan kekangan pandemik Covid-19 dan beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilalui oleh rakyat Malaysia membuatkan semua orang berjaga-jaga.
“Ramai yang memilih untuk duduk di rumah dan bertepatan dengan itu juga membuatkan saya mengadakan showcase ini agar mereka boleh saksikan dari rumah sahaja.
“Ini merupakan kali pertama saya mengadakan showcase secara virtual dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Harapnya peminat tidak melepaskan peluang untuk sama-sama menyaksikannya nanti,” katanya.
Menerusi showcase selama 30 minit itu, Dayang menyanyikan lima buah lagu terdiri daripada Di Pintu Syurga, Tak Pernah Menyerah, Lelaki Teragung, Separuh Mati Ku Bercinta dan satu lagu hari raya.
Must-Watch Video