Pelawak Shuib menegaskan dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengatakan dirinya sudah keluar daripada kumpulan lawak Sepah dan Sepahtu.

Masih lagi bersahabat dengan ahli kumpulan itu, Shuib berkata tidak kisah sekiranya mana-mana pihak ingin menggunakan nama komersialnya iaitu ‘Shuib Sepahtu’ atau pun tidak.


“Sepanjang dalam industri, saya tak pernah declare dan dahulu pun saya tak pernah cakap yang saya dah keluar kumpulan Sepah, sama juga dengan Sepahtu.

“Sebab saya tahu nama itu yang membawa rezeki kepada saya. Jadi, kalau nak panggil saya Shuib Sepahtu boleh, nak panggil saya Shuib saja pun boleh juga.

“Cuma bila saya dalam program itu, memang berat nama saya ke sana la. Sekarang pun saya masih berkawan dengan mereka dan tiada masalah pun,” katanya kepada Gempak.

Shuib ditemui ketika sidang media rancangan komedi UBI SUPERSTAR LIVE yang diadakan di Mighty Monster MyTOWN, Kuala Lumpur pada Selasa.

Kini menyertai rancangan komedi UBI SUPERSTAR LIVE, Shuib memberitahu dia juga terbuka untuk menerima jemputan untuk ke Sepahtu Reunion.

“Saya masih terbuka untuk buat program dengan mereka sebab saya meletakkan Sepahtu Reunion paling best pernah saya buat dan sekarang pun masih paling best pernah tengok.

“Ada rezeki saya akan ke sana juga. Sebab untuk program atau pun gelanggang yang cukup best untuk saya bermain, sumpah best! Saya main dekat gelanggang itu nak dekat lima tahun.

“Rasa macam lebih 100 episod saya main dekat situ. Sebab itu bila dengan UBI SUPERSTAR ini seperti angin baru. Apa salahnya saya buat,” ujarnya.

Selepas kejayaan menerusi Muzikal Lawak Superstar musim ketiga, kumpulan pelawak UBI kini tampil rancangan komedi terbaharu Astro Warna iaitu UBI SUPERSTAR LIVE.

Gabungan serasi di antara Fad, Sharif Zero, dan Namie sebagai kumpulan UBI membuatkan para penonton tidak sabar untuk melihat mereka beraksi sekali lagi di atas pentas.

Menarik lagi, mereka turut menjemput dua pelawak terkenal iaitu Shuib dan Ajak untuk menyertai empat episod UBI SUPERSTAR LIVE yang akan bermula pada 23 Februari ini di Astro Warna.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.