HIBURAN

Shuib Hilang Kata-Kata, Sukar Nak Jawab Soalan Matin - “Dulu Masa Ada Ibu…”

Asyraf Roslan 28/03/2025 | 21:55 MYT

Pelawak dan Usahawan, Shuib akui tergamam apabila anak ketiganya iaitu Ariq Matin meluahkan rasa kehilangan arwah isterinya, Siti Sarah.

Menerusi sebuah perkongsian di Instagram Stories, Shuib atau Shahmira Muhammad berkata dia terkejut apabila anaknya itu bertanya mengapa kehidupannya tidak sama ketika arwah ibunya masih ada.
“Lepas potong rambut, turun guna eskalator Matin tiba-tiba cakap macam ni, ‘Daddy kenapa sekarang kita rasa tidak seronok?’

“Sekarang seronok tetapi tidak seseronok macam dulu, masa ada ibu (Siti Sarah) best. Dulu masa ada ibu, ibu marah pun best,” kongsi Shuib.

Pada masa sama, Shuib juga menyatakan bahawa dia tidak dapat memberikan sebarang jawapan kepada anaknya itu kerana soalan yang ditanyakan begitu mendalam.
Kata Shuib meskipun sudah mempunyai ibu baharu namun kasih sayang daripada sosok seorang ibu yang melahirkan mereka itu amat dasyat.
“Kadang-kadang bila anak tanya soalan macam itu, kita pun macam tiada jawapan. Cuba menenangkan diri tetapi nampaknya tidak boleh tenangkan diri sebab betul soalan Matin ‘tajam’.

“Betul, Mummy (Watie Hanifiah) dia ada tapi… itulah dia kasih seorang mak yang menggandungkan anak mereka. Hubungan mak dengan anak amat dasyat. Matin hanya seorang budak, kita bersyukur sebab ada mak dengan ayah lagi,” tambahnya.

Sekadar info, Shuib dan Watie mendirikan rumah tangga pada 23 Jun tahun lalu.

Untuk rekod, Shuib berkahwin dengan Siti Sarah pada 2011, namun arwah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan COVID-19.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin, dan Ayash Affan.

#Siti Sarah #Shuib #Matin