Laman Utama
Shuib Mohon Padam Gambar & Video Arwah Siti Sarah Yang Tak Tutup Aurat
Suami kepada Allahyarhamah Siti Sarah Raissudddin, Shuib Sepahtu memohon orang ramai agar menghormati pemergian isterinya.
Salah satunya dengan tidak lagi berkongsi atau mengeluarkan visual arwah Siti Sarah yang tidak menutup aurat.
"Saya ada permintaan di mana saya mohon pada semua untuk tidak lagi mengeluarkan gambar atau video arwah yang tidak menutup aurat dengan sempurnanya.
"Saya juga memohon pada yang ter-upload di media sosial untuk mengeluarkan kembali video atau gambar tersebut.
"Dan saya juga mohon untuk tidak menceritakan kebaikan Allahyarhamah secara berlebih-lebihan.
"Cukuplah kita bersederhana dalam setiap perkara dan perbuatan kita. Insya-Allah semoga kita diberkati dan dirahmati Allah," tulisnya menerusi hantaran di Instagram pada Isnin.
Tambah Shuib, seandainya merindui arwah isterinya, sebaik-baiknya sedekahkan Al-Fatihah buat beliau.
"Sama-sama kita terus istiqamah menuju ke jalan Allah.
"Jika rindu pada Allahyarhamah Siti Sarah, sedekahkan Al-Fatihah," pesannya lagi.
Allahyarhamah Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) akibat COVID-19, jam 5.13 pagi Isnin lalu.
Terdahulu, ibu kepada empat cahaya mata itu bertarung nyawa akibat COVID-19 selepas lebih 48 jam ditidurkan.
Penyanyi lagu Kesetiaan itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor pada kira-kira pukul 1.20 petang Isnin.
Allahyarhamah meninggalkan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang kini masih berada dalam pemantauan di PPUKM.
Must-Watch Video