Hiburan
Shuib Sepahtu Dedah Rahsia Bisnes... - "Saya Selalu Amalkan..."
Pelawak dan penyampai radio, Shuib Sepahtu mendedahkan 'rahsia' kejayaannya dalam bidang perniagaan.
Semakin menempa kejayaan dengan bisnes madunya, Bee Factory, Shuib meraih anugerah Prestigious Leader In Retail Chain & Lifestyle Industry dalam acara Malaysia Prestigious Industry Award 2019 (MPIA).
Majlis anugerah terbabit dianjurkan oleh Malaysia Organisation of Company Director (MOCAD) dan diadakan di Marriot Putrajaya baru-baru ini.
"Semenjak awal tahun ini, saya mengamalkan bacaan surah al-Waqiah setiap kali bangun pagi dan sebelum tidur. Selain itu, saya selalu bersedekah.
"Saya melihat amalan terbabit memberikan kesan positif. Segala urusan dipermudahkan dan Allah memurahkan rezeki saya dalam bidang perniagaan.
"Sebelum ini, saya pernah beberapa kali gagal dalam perniagaan tetapi bisnes madu menunjukkan impak yang positif. Ketika saya putus asa, Allah hantarkan orang yang memberikan sokongan serta nasihat sehingga semangat saya pulih kembali.
"Bukan saya yang hebat, tapi Allah hantarkan insan yang hebat kepada saya, terutamanya isteri, Siti Sarah yang selama ini tak henti menyokong dan menjadi tulang belakang," katanya lagi.
Meluaskan rangkaian sebagai usahawan, Shuib tidak melupakan bidang seni.
"Mana mungkin saya tinggalkan dunia hiburan kerana ia minat saya dan saya mahu terus aktif sebagai tanda terima kasih kepada peminat yang sentiasa memberikan dorongan.
"Bidang perniagaan merupakan sesuatu yang saya mahu terokai dan bisnes madu memberikan pulangan yang baik selepas saya pernah gagal beberapa kali dengan bisnes kopi dan kurma.
"Saya menganggap anugerah ini sebagai batu loncatan untuk saya lebih berusaha keras dalam bidang perniagaan," katanya lagi.
Selain Shuib, MPIA 2019 turut mengiktiraf pelbagai usahawan serta selebriti lain dalam kategori berbeza seperti Zara Zya, Datuk Alha Alfa, Syafieq Aiman, Datuk Yusof Haslam, Erra Fazira dan ramai lagi.