Pelawak Shuib Sepahtu berharap majlis persandingan sempena ulang tahun perkahwinan mereka ke-lima yang bakal berlangsung esok berjalan lancar.

Shuib berkata dia dan isterinya mahu tetamu yang hadir dapat bergembira di majlis sanding yang diadakan di Bora Ombak Putrajaya, esok.

"Saya cuma berharap majlis persandingan kami nanti berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.

"Selain itu, tiada apa yang kami harapkan selain mahu semua tetamu yang hadir gembira dengan majlis kami nanti," katanya dalam satu temu bual di Sepahtu Sinar, Sinar FM.

Shuib dan Sarah berkahwin pada tanggal 26 Februari 2011 dan majlis persandingan serta resepsi itu akan dibuat pada tarikh yang sama bersempena meraikan ulang tahun perkahwinan mereka di Bora Ombak Marina.

Teks oleh Syafiqah Jalal