Shuib, Watie Nikah 23 Jun 2023 Tanpa Majlis Resepsi, Syukur Dapat Tajaan RM1.7 Juta
Mya Amri
07/06/2023 08:00 MYT
07/06/2023 08:00 MYT
Pelakon, pelawak dan penyampai radio, Shuib mengumumkan tiada majlis resepsi untuk perkahwinannya bersama pasangannya, Watie Hanifiah yang bakal berlangsung pada 23 Jun ini.
Shuib ketika ditemui di sesi sidang media Walimatulurus Shuib dan Watie berkata, pada hari sama, akan berlangsung tiga majlis lain.
“Untuk majlis pada 23 Jun nanti, akan ada majlis khatam Al-Quran, berinai dan majlis akad nikah. Tetapi, takkan ada majlis resepsi kerana ini adalah atas persetujuan kedua-dua belah pihak.
“Majlis ini kami adakan sederhana sahaja, tetapi, saya nak majlis akad nikah itu akan ada pelamin. Jadi, dapatlah bergambar bersama keluarga.
“Watie adalah anak dara dan ini perkahwinan pertamanya. Jadi, saya nak ini menjadi satu kenangan indah buat dia juga. Kami nak raikan semua orang terutamanya keluarga,” katanya.
Dalam masa yang sama Shuib juga menyatakan rasa syukur apabila majlis pada hari itu turut mendapat penajaan mencecah lebih RM1 juta.
“Untuk penajaan, ia membabitkan majlis khatam Al-Quran, berinai sehinggalah akad nikah. Nilainya mencecah lebih RM1 juta termasuklah barangan kemas.
“Tetapi, bukanlah semua kos ditaja sebab saya ada keluarkan kos sendiri juga,” katanya.
Majlis itu akan berlangsung di Putra Glass House, Putra Height dan akan terhad kepada 600 tetamu.
Majlis ini juga akan ditayangkan dalam siri mini terbaharu yang akan merakamkan detik manis serta perjalanan cinta Shuib dan Watie, Walimatulurus Shuib dan Watie.
Program tiga episod itu akan menemui penonton secara esklusif bermula 24 Jun, 9 malam di Astro Ria.