Shuk Sahar Sah Bercerai Dengan Rossa Sera - “Sebenarnya Selepas Balik Umrah Bersama, Kami Ada…”
Asyikin Mayudin
31/03/2023 06:28 MYT
31/03/2023 06:28 MYT
Kemelut rumah tangga Shuk Sahar dan Rossa Sera sudah berakhir selepas pelawak itu mengesahkan dia sudah menceraikan bekas isterinya dengan talak satu pada 22 Mac lalu.
Menurut Shuk, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan cara baik dengan Sera selepas mereka pulang dari menunaikan umrah pada Januari lalu.
“Ya, memang betul saya dan Sera sudah sah bercerai dengan talak satu pada 22 Mac lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.
“Sebenarnya selepas balik umrah bersama itu, kami ada duduk berbincang dan kami buat keputusan untuk bercerai. Tapi kami berpisah pun dengan cara baik,” katanya kepada Gempak.
Masih menjalinkan hubungan yang baik dengan bekas isteri, Shuk memberitahu fokus utamanya kini hanya pada dua cahaya matanya yang kini menetap di Sabah bersama bekas ibu mentua.
“Sekarang ini memang anak-anak fokus utama saya. Anak-anak pun tinggal di Sabah bersama ibu Sera sebab Ain (anak sulung) dah masuk sekolah darjah satu.
"Saya okay saja... buat masa kini, saya memang tengah aktif berniaga di TikTok tapi kalau ada tawaran berlakon, saya akan terima,” ujarnya.
Untuk rekod, Sera atau Rossalennah Natassyiah Asshaferah pernah mendedahkan sudah memfailkan cerai terhadap Shuk pada November tahun lalu selepas pelawak itu didakwa curang.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain, 6 dan Nur Assyifatu Aimi, 3 tahun.