HIBURAN
Siap ‘Angkut’ Siti Nurhaliza Naik Pentas, Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti Beri Kenangan Manis Buat Peminat
Konsert Cinta Nolstalgia Krisdayanti yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada malam Ahad lalu sememangnya memberi kenangan manis buat peminat penyanyi Indonesia terkenal itu.
Tenaga luar biasa
Berlangsung selama dua jam, konsert primadona tersohor Indonesia itu membuka tirai dengan persembahan daripada artis jemputan iaitu penyanyi Mimi Fly.
Bukan sekadar sekadar persembahan biasa di atas pentas, Krisdayanti juga telah membuktikan nyanyian masih lagi hebat dan tenaga luar biasa biarpun sudah berusia 50 tahun.
Malah apa yang menariknya lagi, Krisdayanti ‘rajin’ turun ke pentas dan berjalan mengelilingi dewan sambil menyanyi, menyapa dan berinteraksi secara langsung dengan kira-kira 2,300 peminatnya.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang sudi datang ke Konsert Cinta Nostalgia. Tentunya sudah lama, konsert terakhir saya di sini pada lapan tahun yang lalu.
“Saya rasa rindu sangat la. Seronok bertemu dengan tetamu yang hadir. Saya begitu dekat melihat wajah-wajah yang hadir,” katanya.
Krisdayanti memulakan persembahan dengan menyanyikan lagu Mahadaya Cinta, Cinta, Yang Kumau, Cubalah Untuk Setia, I’m Sorry Goodbye, Pilihlah Aku dan Menghitung Hari.
Bukan itu sahaja, Krisydayanti turut menyanyikan lagu Doaku Harapanku dan Sinaran yang dituju khas buat penyanyi Datuk Sheila Majid yang tidak dapat hadir pada malam itu.
Siti Nurhaliza
Sebaik sahaja selepas menyanyikan lagu itu, Krisdayanti terus mengajak Biduanita Negara iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama-samanya di atas pentas untuk lagu Cindai.
Apa yang menarik, penyanyi tersohor negara itu sangat ‘sporting’ membuat persembahan bersama Krisdayanti dengan memakai bag tangan di atas pentas.
“Sahabat baik saya, dunia dan akhirat… Krisdayanti. Saya dengan bag ini atas pentas. Tak pernah bawa bag atas pentas,” kata Siti Nurhaliza.
Istimewanya lagi apabila penyanyi Mimi Fly bersama Siti dan Krisdayanti menyanyikan lagu ‘Jika Kau Tak Datang’ yang dipetik daripada album kolaboratif ikonik CTKD (Canda, Tangis, Ketawa, Duka) dan simbolik gabungan nama dua diva tersohor, CT (Siti) dan KD (Krisdayanti).
Krisdayanti turut mengundang anak perempuannya Aurelie Hermansyah, cucu-cucunya Ameena dan Azura, serta Arianna Amora Lemos ke pentas.
Mereka bersama-sama mendendangkan beberapa lagu, termasuk ‘Timang-Timang’ ciptaan Anang Hermansyah dan ‘Bertubi-Tubi’ ciptaan Melly Goeslaw.
Sebuah segmen istimewa menyaksikan tayangan video throwback perjalanan awal kerjaya seni Krisdayanti dari detik pertama mencipta nama, sehinggalah menerima pelbagai anugerah berprestij di Indonesia dan Malaysia.
Penonton turut disajikan klip kolaborasi Krisdayanti bersama nama-nama besar seperti Siti Nurhaliza, Melly Goeslaw, dan ramai lagi.
Momen ini membuat penyanyi dan penulis lagu Melly Goeslaw tidak dapat menahan sebak, lalu menitiskan air mata menyaksikan rakan baiknya itu berdiri di pentas besar, menyampaikan lagu-lagu kenangan dengan penuh penghayatan.
Selain Mimifly, penyanyi Khai Bahar turut menjadi artis jemputan bersama-sama Krisdayanti menyanyikan lagu Hati Ini Telah Dilukai, lagunya sendiri, Luluh.
Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti yang dibawakan oleh JBProduction itu akan mengubat rindu peminat selepas KD kali terakhir muncul dengan konsertnya di Malaysia pada 2017 menerusi Konsert Romansa Krisdayanti.