Menjelang kedatangan Ramadan, pastinya umat Islam membuat pelbagai persediaan samada dari segi rohani dan jasmani.

Ramadan kali ini pastinya berbeza dengan Ramadan yang lalu kerana ia bakal disambut dalam keadaan hampir seluruh umat Islam di dunia ini terhad pergerakan mereka akibat penularan wabak COVID-19.

Masjid dan surau juga ditutup bahkan Masjidil Haram yang merupakan Masjid terbesar umat Islam juga hanya mengadakan solat sunat Tarawih di kalangan petugas masjid sahaja.

Menyedari hakikat itu, pihak Inteam Digital telah menerbitkan video panduan Imam dan Bilal Tarawih bagi memudahkan umat Islam khususnya di Malaysia mengulangkaji dan mempelajari cara-cara bagi mereka menjadi Imam dan Bilal solat Tarawih berjemaah di rumah sendiri bersama keluarga masing-masing.

Video tersebut yang telah pun dilancarkan beberapa hari yang lalu di platform YouTube Inteam Digital telah mendapat sambutan hangat dan komen-komen positif dari penonton.

Malah, sedutan video yang dimuatnaik di Facebook telah mendapat lebih 11,000 perkongsian dan hampir 100,000 tontonan.

"Alhamdulillah, tahun 2020 hikmahnya, Ramadan telah melahirkan ramai imam-imam solat Tarawih di rumah apabila surau dan masjid ditutup kerana COVID-19" menurut satu komen pada video tersebut.

"Terima kasih Inteam, boleh dirujuk kalau terlupa, kali pertama jadi bilal di rumah musim PKP ni" tambah satu hantaran yang lain pula.





Panduan Imam dan Bilal Tarawih yang dirakamkan menggunakan suara Hazamin dari kumpulan Inteam ini turut memuatkan surah-surah lazim yang boleh dibaca oleh Imam di dalam solat tarawih, serta selawat dan zikir yang popular dialunkan bilal di setiap kali berhenti rehat antara dua solat Tarawih.

"Alhamdulillah, semoga video ini dapat memberi manfaat kepada umat Islam seluruh Malaysia khususnya dan semoga Ramadan kali ini tetap meriah dengan amal ibadah solat terawih, solat malam dan bacaan Al-Quran walaupun semuanya dilaksanakan di rumah masing-masing kerana mematuhi arahan PKP ini.

"Semoga Wabak COVID-19 ini juga akan cepat dihapuskan dari bumi Malaysia dan seluruh dunia, Insya-Allah," menurut Hazamin.

Video Panduan Imam dan Bilal Tarawih ini boleh ditonton di rangkaian Youtube Inteam Digital serta boleh didengar secara strim di platform-platform digital seperti Joox, Spotify, Deezer dan lain-lain.