NOTA: Artikel ini ditulis berdasarkan pendapat penulis secara peribadi sahaja.

***


Akhirnya, acara berprestij, Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) bakal berlangsung malam ini.

Satu perkara yang tidak boleh dinafikan, barisan penyanyi yang bertanding malam ini semuanya hebat, lantas menjadikan persaingan antara mereka begitu sengit.

Penulis rasakan lagu 7 Nasihat nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama Kmy Kmo dan Luca Sickta mempunyai kekuatan yang luar biasa.

Menampilkan Shiha Zikir sebagai pengganti Siti dalam AJL35, persembahan malam ini dijangka memukau penonton kerana vokal Shiha sememangnya sedap didengar, dan pada masa yang sama, bintang Dansa Dan Sing ini juga pandai menari. Sama-sama kita nantikan!

Selain aspek vokal dan persembahan, lagu 7 Nasihat ini juga sarat dengan pelbagai mesej berguna. Elemen nasihat bermula sebaik sahaja memasuki rangkap pertama hinggalah ke akhir lagu.

Bukan itu sahaja, lagu ini juga mempertaruhkan kombinasi muzik tradisional dan moden yang sangat kemas serta mampu menarik minat pelbagai generasi.

Selain 7 Nasihat, naskah Semalam, nyanyian dan ciptaan sepenuhnya oleh Aina Abdul juga bukan calang-calang.

Aina bukan sekadar memiliki vokal yang mantap, malah berbakat menulis lirik. Bagi penulis, lirik lagu Semalam ini sangat indah dan pemilihan kata-katanya juga lain dari yang lain.

Berkali-kali ku coba untuk pergi jauh dari mu
Setiap langkah ku terhenti kerna jasad ini
Engkau pergi jua tinggal ku sendiri
Dengan seribu calar ungu


Terutamanya rangkap di atas ini, meskipun ia kelihatan ringkas, namun jika diperhatikan, pemilihan perkataan 'calar ungu' yang menggambarkan kesakitan itu menambahkan lagi nilai kesenian lirik lagu ini.

Bagi penulis, Aina layak memenangi kategori vokal terbaik malam ini, dan jika nasib menyebelahi penyanyi ini, lagu ini juga layak berada di dalam lingkungan tiga teratas.

Apapun, penilaian yang lebih profesional tentunya dilakukan oleh pihak juri kerana mereka lebih tahu aspek penilaian secara keseluruhan.

Yang penting, semua penyanyi dan lagu yang bertanding malam ini hebat-hebat belaka. Tidak kurang juga naskah seperti Gundah nyanyian Ernie Zakri, Jangan Khianati Aku dari Azlan & The Typewriter, Gila dari Kaka, Belenggu Rindu hasil duet Datuk Jamal Abdillah bersama Wany Hasrita dan banyak lagi.

Jika rezeki memihak, tentunya mereka akan meraih kemenangan malam ini, semoga berjaya kepada semua finalis AJL35!