“Siapa Berani Main Gila?” – Kongsi Foto Polis Evo 3, Zizan Razak Minta Peminat Sabar & Bawa Mengucap

Azwa Rahman
Disember 2, 2019 11:03 MYT
Aktor Zizan Razak mencuri perhatian wargamaya apabila berkongsi sekeping foto bersama pelakon Shaheizy Sam dan Syafiq Kyle untuk filem Polis Evo 3 (PE3).
Zizan atau nama sebenarnya Mohammad Razizan Abdul Razak, 35, memuat naik foto tersebut di laman Instagram miliknya.
“Siapa berani main gila? Biar kami jaga kamu. Janji kamu selamat hati tak dikhianati,” tulis Zizan menerusi ruangan kapsyen.
Untuk PE3, Zizan dan Sam selaku Inspektor Sani dan Inspektor Khai menerima kehadiran seorang Inspektor baru iaitu Inspektor Danny yang diterajui oleh Syafiq Kyle.
Di ruangan komen, ramai wargamaya yang tidak sabar akan kemunculan filem PE3.
Antara wajah-wajah popular lain yang bakal membintangi filem ini adalah Nora Danish, Fauzi Nawawi, Eyka Farhana, Farali Khan dan ramai lagi.
Sebelum ini, filem Polis Evo 2 yang ditayangkan tahun lalu mendapat kutipan pecah panggung lebih RM20 juta.
Manakala, filem Polis Evo yang ditayangkan sekitar tahun 2015 meraih kutipan RM17.8 juta.
#Filem #Selebriti #Filem #Polis Evo 3