Hiburan
"Siapa Ja Yang Minta Untuk Dijangkiti Virus Menakutkan ..." - Hani Fadzil Sedih Tengok Sikap Netizen Kecam Alif Satar
Pengacara Hani Fadzil, 29, akui berasa sedih melihat sikap segelintir netizen yang melemparkan komen negatif terhadap selebriti serba boleh, Alif Satar sejurus dia mengumumkan positif Covid-19.
Sebagai individu yang rapat dengan Alif dan keluarga, Hani merasakan tindakan itu tidak adil kerana tidak ada sesiapa yang ingin dijangkiti virus merbahaya itu.
"Sejujurnya sangat sedih melihat segelintir netizen yang memberi kecaman atau komen negatif terhadap seseorang yang baru sahaja disahkan positif Covid-19. Terkejut bila ada yang cakap 'padan muka', 'kau la punca' dan sebagainya kat Alif.
"Bagi saya ini tidak adil. Siapa ja yang minta untuk dijangkiti virus menakutkan ini. Tuhan sahaja yang tahu betapa risaunya Alif sebagai seorang anak, abang yang ibu bapa dan adiknya positif Covid-19.
"Disahkan positif di Melaka, mesti Alif sangat merisaukan keadaan isteri dan anak-anak kecil di Kuala Lumpur. Tidak ada yang mahu berada dalam keadaan ini.
"Mungkin mudah untuk orang memberi komen tanpa memikirkan keadaan yang dilalui seseorang. Alif juga manusia.
"Adakah anda sanggup mengatakan 'padan muka' kepada ahli keluarga sendiri jika mereka dijangkiti? Siapa yang sanggup kan?" katanya ketika dihubungi Gempak.
Tambah bekas penyampai radio ERA, dugaan yang diberikan kepada Alif itu telah membuka mata untuk tidak memandang ringan dengan penyakit itu.
"Kita tidak tahu apa yang mereka lalui. Daripada sibuk mengecam, lebih baik mendoakan kesembuhan dan kesejahteraan seseorang.
"Apa yang terjadi pada Alif ternyata membuktikan bahawa berhati-hati macam mana pun kita, we cannot take this virus for granted," katanya.
Dalam pada itu, pemilik nama Intan Farhani Mohd Fadzil mengingatkan kepada semua orang supaya mendiamkan diri daripada mengeluarkan kata-kata yang kurang enak didengari.
"Semoga apa yang terjadi dijadikan iktibar kepada kita semua untuk lebih berwaspada dalam mencegah diri daripada dijangkiti virus ini.
"Semoga kita juga menerapkan lebih empati dalam diri kita. If you don’t have anything nice to say, don’t say anything at all," katanya lagi.
Pada Ahad lalu, Alif membuat pengumuman di laman sosial Instagram mengesahkan dirinya positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan di sebuah pusat perubatan di Melaka.
Instagram: @hahanybunch