UNDI TOP 5 GEMPAK MOST WANTED AWARDS SEKARANG!
Berita

Siar Perlawanan EPL Secara Haram, Kafe Pool Didenda RM175,000

Asyraf Roslan 24/01/2025 | 08:55 MYT
Astro mencatat kemenangan kedua dalam penganugerahan ganti rugi statutori oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas sebuah kafe pool tempatan didapati bersalah melanggar hak cipta gara-gara menstrim perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) secara haram.
Dalam keputusan bertarikh 7 Januari, mahkamah memihak kepada Measat Broadcast Network Systems Sdn. Bhd., anak syarikat Astro Malaysia Holdings Berhad, dengan menganugerahkan ganti rugi statutori berjumlah RM175,000.
Kes ini melibatkan Frenz Pool Café dan Tuwang 69 Sdn. Bhd yang menstrim kandungan Astro tanpa kebenaran.
Tindakan undang-undang ini membabitkan tayangan awam tanpa kebenaran perlawanan EPL antara Manchester United dengan Brighton pada 16 September 2023, yang disiarkan menerusi Astro Supersport 3.
Pelanggaran tersebut turut melibatkan penggunaan logo dan elemen penjenamaan Astro secara tidak sah, yang menjadi faktor penting dalam keputusan mahkamah.
Menyambut baik keputusan tersebut Pengarah Jualan dan Pemasaran Astro, Tai Kam Leong, berkata: “Kami amat berbangga menerajui usaha melindungi hak intelek, dan keputusan ini menegaskan komitmen kami untuk memastikan mereka yang mengaut keuntungan daripada kandungan cetak rompak dikenakan tindakan tegas.
Perjuangan kami tidak terhenti di sini; kami akan terus bertindak melindungi kandungan bermutu kami bagi membina ekosistem digital yang lebih adil untuk semua.”
Selain ganti rugi, pihak mahkamah turut mengeluarkan injunksi kekal terhadap defendan, melarang mereka daripada menstrim kandungan hak cipta Astro secara tidak sah pada masa akan datang.
Defendan juga diperintahkan membayar kos guaman sebanyak RM10,000. Kemenangan ini susulan kejayaan pertama Astro dalam penganugerahan ganti rugi statutori pada November 2024 yang melibatkan sebuah pub tempatan.
Berbeza dengan ganti rugi pampasan yang memerlukan bukti kerugian sebenar, jumlah bagi ganti rugi berkanun tersedia maktub dalam undang-undang.
Astro menganggap kemenangan ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mempertahankan pencipta, bakat, dan inovasi yang menjadi teras industri hiburan.
#Astro #EPL #Kafe Pool #Tayangan Haram
;