Laman Utama
“Siasatan Terhadap Young Syefura Akan Dibuat Selepas Menerima Laporan...” – Ketua Polis Daerah Sepang
Meskipun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman menyatakan kesediaannya untuk disiasat namun, pihak polis tidak boleh memulakan siasatan sehingga ada laporan dibuat terhadap ahli politik itu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, ketika dihubungi, berkata siasatan akan dimulakan selepas menerima laporan polis berhubung perkara tersebut.
Katanya, polis belum menerima laporan berhubung penyebaran gambar perkelahan Young Syefura yang didakwa tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), baru-baru ini.
"Kami masih menunggu laporan dibuat oleh mana-mana pihak dan selepas itu barulah siasatan boleh diadakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaan Young Syefura yang bersedia disiasat jika tindakannya melanggar SOP PKPB.
Terdahulu, gambar perkelahan ADUN DAP itu menerima pelbagai reaksi selepas ia dimuat naik ke Instagram, memaparkan dirinya dan empat yang lain berkelah di sebuah pantai di Avani Sepang Goldcoast Resort, Bagan Lalang, Sepang.
Bagaimanapun, gambar itu kemudian dipadamkan selepas ia tular di media sosial dan menerima desakan sebilangan netizen supaya Young Syefura untuk meletak jawatan sebagai wakil rakyat.
Young Syefura berkata, walaupun berkhidmat sebagai ADUN di Pahang tetapi beliau bermastautin di Selangor.
Pelaksanaan PKPB di Selangor, bermula pada 14 Oktober lalu, melarang pergerakan antara negeri dan daerah kecuali untuk tujuan kerja dan kecemasan.
Turut dilarang aktiviti berkelah berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara selain aktiviti pelancongan membabitkan perjalanan masuk dan keluar dari kawasan PKPB.