Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Sifatkan Aksi Cium Sesama Jenis Biadab, Fahmi Panggil Penganjur ‘Mengadap’

Maliah Surip
22/07/2023 05:53 MYT
Susulan sikap biadab tindakan kumpulan The 1975 yang membuat aksi kurang sopan dalam konsert Good Vibes Festival 2023, pihak penganjurnya kini sedang menanggung padahnya.

Penganjur Good Vibes Festival 2023 telah diminta memberi penjelasan terhadap insiden yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, malam tadi.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dalam perkongsian di Twitter turut memaklumkan akan berhubung dengan pihak berkuasa untuk mendapatkan laporan penuh insiden itu.

"Ini satu tindakan yang sangat biadab. Saya telah panggil penganjur untuk beri penjelasan esok, dan akan berhubung dengan pihak berkuasa untuk dapatkan laporan penuh," katanya.



Sementara itu Free Malaysia Today melaporkan Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan juga mahu melakukan pertemuan dengan penganjur festival.

“Setakat ini masih belum ada siasatan rasmi yang dijalankan kerana tiada laporan polis dibuat tapi pihak polis akan memanggil penganjur nanti. Ia akan dilaksanakan oleh pihak polis KLIA,” katanya.

Media melaporkan persembahan The 1975 di Good Vibes Festival 2023 dihentikan selepas vokalisnya, Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.

Beliau didakwa memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Meski berhadapan dengan kontroversi tersebut, penganjur menerusi siaran media yang dikeluarkan menjelaskan Good Vibes Festival 2023 akan diteruskan seperti biasa iaitu berakhir esok (Ahad).
ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi Lelaki Cium Gitaris Lelaki Di Festival Muzik, Band Dari UK Angkat Kaki, Dakwa Digam Di Malaysia?


#Fahmi Fadzil #Good Vibes #The 1975 #1975
;