Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Sifatkan Muzik Seperti Pisau, Bekas Gitaris SO7, Salman Kembali Bermuzik Lepas 17 Tahun Dalami Agama

Maliah Surip
08/11/2023 11:42 MYT
Bagi peminat setia Sheila On 7, nama Sakti bukan asing. Dia merupakan bekas pemain gitar kugiran terkenal dari Jogjakarta yang meninggalkan karier seninya untuk mendalami agama.

Namun setelah 17 tahun tidak bermuzik secara serius apalagi membuat persembahan di atas pentas, Sakti yang kini dikenali sebagai Salman Al Jugjawyy buat pertama kali akan menyapa peminat dengan penampilannya secara komersial.

Sakti bakal menjayakan Konsert Tombo Ati Ridho Ilahi - Opick & Sakti Live In Kuala Lumpur di Zepp Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Bercakap tentang kembalinya ke dunia muzik selepas lama aktif sebagai pendakwah, Salman mengaku menerima dengan terbuka beragam pendapat daripada masyarakat.

“Setiap orang ada pandangan masing-masing dan dalam hal ini, tiada salah atau betul. Saya menghargai setiap pendapat meskipun berbeza kerana saya percaya akhirnya kita akan bertemu pada titik sama,” ujar Salman saat bertemu secara virtual bersama media tempatan sempena konsert tersebut.

Dia juga mengatakan niat yang baik akan selalu membuahkan hasil yang baik. Lantaran itu dia menerima lamaran untuk terlibat bersama penyanyi religi, Opick menerusi konsert yang dianjurkan Al Kauthar Eduqids ini.

“Semua karya yang diniatkan untuk sampaikan kebaikan, semua akan baik. Allah takdirkan kita jumpa di Malaysia, bukan hanya di telinga tapi semoga persembahannya juga sampai di hati. Mendapat manfaat dan kesejukan di hati,” ujarnya lagi. ,

Dan saat ditanya mengenai pandangan tentang dunia muzik yang pernah ditinggalkan dahulu, Salman memberi metafora yang sangat menarik.

“Muzik boleh diibaratkan seperti pisau. Jika dipakai untuk menghiris daging yang menjadi sumber ezeki, itu adalah satu hal yang baik. Tapi jika ia digunakan untuk merompak atau mencuri, itu adalah satu perkara sangat buruk.

"Muzik buat kita dekat pada Allah, jadikan hati lembut dan punya empati sesama manusia," ujarnya berkias.

Sementara itu, penganjur Iman Tang memaklumkan sebahagian kutipan tiket Konsert Tombo Ati Ridho Ilahi - Opick & Sakti Live In Kuala Lumpur di Zepp Kuala Lumpur akan disalurkan kepada Palestin.

Opick juga memberitahu akan mendendangkan sebuah lagu khas untuk rakan seagama yang berada di Palestin.

Konsert Tombo Ati Ridho Ilahi - Opick & Sakti Live In Kuala Lumpur di Zepp Kuala Lumpur juga bakal dimeriahkan dengan penyanyi undangan iaitu Nur Fazura, UNIC, Zizi Kirana, Adi Priyo dan Yabang Khalifah.

#Konsert #Sheila On 7 #Opick #KL #SO7
;