Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Sihir, Fiza Thomas Muntah Lepas Makan Rebung - “Saya Tak Suka Rasa Dia”

Mya Amri
11/11/2021 06:15 MYT
Pelakon Fiza Thomas berkongsi pengalaman sewaktu penggambaran drama terbaharu berjudul Sihir.

Menurut Fiza, momen yang tidak dapat dilupakan adalah ketika melakonkan babak yang memintanya untuk makan rebung.

“Ada babak yang paling saya tak boleh lupa adalah makan rebung. Sebab saya tak suka rasa rebung.

“Tetapi untuk babak itu saya kena lakonkan dan makan dengan penuh berselera. Namun sebaik sahaja pengarah menyebut ‘cut’, saya muntah,” kongsinya kepada Gempak.

Bercerita mengenai Sihir, pelakon berbakat ini melakonkan watak Salina iaitu seorang penyanyi kelab malam.

“Saya terima tawaran untuk Sihir ini kerana jalan ceritanya yang menarik dan watak saya pula adalah penyanyi kelab malam yang menggunakan sihir buluh perindu dalam episod Minyak Buluh Perindu yang baru sahaja ditayangkan.

“Bagi saya secara peribadi drama ini bukan untuk menakut-nakutkan penonton tetapi lebih kepada untuk menyampaikan mesej.

“Mesej utama yang ingin disampaikan ialah penggunaan amalan syirik yang haram dilakukan tidak kira walau bagaimana terdesak sekalipun.

“Sebagai contoh, pengajaran untuk Salina adalah supaya tidak menggunakan jalan pintas untuk berjaya.

“Percaya dengan bakat yang dikurniakan oleh Allah, usaha perbaiki diri bukan mengubah ciptaan Allah dengan menggunakan sihir.” jelasnya.

Dalam perkembangan terkini, Fiza kini menjalani penggambaran drama 13 episod berjudul Hari Mencari Cinta untuk siaran bergandingan dengan Aiman Hakim Ridza dan juga Hannah Delisha.

Fiza juga terlibat dengan penggambaran drama bersiri Ampas bersama produksi Kus Semangat Actor.

Projek ini merupakan antara yang mengujakan Fiza kerana dia melakonkan watak wanita tahun 50an dengan latar belakang di zaman filem Melayu Jalan Ampas.

Saksikan Sihir setiap Isnin hingga Khamis, jam 11 malam secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104).

Untuk pilihan yang lebih feksibel, Sihir juga boleh distrim di aplikasi Astro Go dan On Demand.


#Sihir #Drama Sihir #Fiza Thomas