Hiburan
"Sila Kemukakan Bukti..." - Naim Buat Kenyataan Kerana Ada Yang Mengaku 'Sumpah' Hak Cipta Bersama?
Semenjak lagu Sumpah ciptaan Naim Daniel dan Omar K dinobatkan sebagai Juara Lagu pada AJL34, kisah lama tentang penghasilan lagu tersebut muncul kembali.
Kalau sebelum ini kecoh bahawa lagu Sumpah dikatakan dihasilkan bersama dengan bekas kekasihnya, Dayana Amerda, kini perkara tersebut timbul lagi.
Dalam satu video pendek yang dimuat naik oleh Naim Daniel di Instagram miliknya, Naim memberikan penjelasan kepada sesiapa yang mahu berkongsi hak cipta dalam sebarang karyanya.
"Assalammualaikum, terima kasih pada semua yang menyokong, memberi inspirasi dan berkarya bersama Naim selama ini. Tidak dinafikan ramai yang memberi inspirasi pada Naim untuk berjaya dalam industri ini.
"Kepada pihak yang merasakan ingin berkongsi hak cipta dalam sebarang terbitan yang telah saya ketengahkan, sila kemukakan bukti, demo, penulisan, transcript, score dan lain-lain," kata Naim.
Tambah Naim, untuk mereka yang ingin berbuat demikian, mereka boleh menghantar email kepada pihak pengurusannya di hello@wp-ent.com untuk pertimbangan yang sebaiknya.
"Terima kasih sekali lagi dan semoga kerja kita sentiasa diberkati Allah SWT," tulis Naim seperti di dalam videonya.
Video yang dimuat naik Naim mungkin juga berkaitan dengan satu sidang media yang bakal dibuat malam ini oleh pihak yang mendakwa lagu tersebut adalah ciptaan bersama (selain daripada Omar K).