Hiburan
Silap Panggil Nama, Akhirnya Bunga Citra Lestari Kongsi Video Pertama Perkenalan Bersama Ashraf Sinclair
Penyanyi Indonesia Bunga Citra Lestari meraikan usia 12 tahun perkahwinannya bersama suami arwah Ashraf Sinclair dengan memuat naik satu video detik perkenalan mereka.
Menerusi laman sosial Instagram, Bunga berkongsi video tersebut dan foto bersama Ashraf untuk tatapan umum.
“Sumber: Beat TV Astro Ria 2007,” tulisnya ringkas sebagai caption.
Menerusi perkongsian itu, Ashraf menjadi hos gantian bagi program Beat TV sedang menemubual Bunga dalam rangka promosi album terbarunya di Malaysia.
Ashraf tersalah memanggil nama Bunga sebenar iaitu Bunga Citra Lesteri sebagai ‘Bunga Cinta Lestari’. Dari situlah mereka saling berkenalan dan menjalinkan hubungan jarak jauh sehingga berkahwin.
Hasil tinjauan Gempak di ruangan komen, ramai rakan selebriti dari Indonesia dan Malaysia memberikan kata-kata semangat dan simbol hati pada pelantun lagu Wanita Terbahagia itu.
“Hugs, Al-fatihah untuk Ashraf yang baik hati,” tulis pelakon Titi Kamal.
“Aww, selama ni saya hanya mendengar cerita. Hari ini saya melihat sendiri video itu. Al-fatihah,” kata pengacara Yasmin Hani.
“Akhirnya boleh melihat video pertama kali kalian bertemu ini,” komen seorang wargamaya.
“Terus kuat Unge, Tuhan akan sentiasa bersamamu dan keluarga,” pinta seorang wargamaya.
“Sangat suci, kami juga merindui Ashraf,” kata seorang wargamaya lagi.
Untuk rekod, pasangan ini disatukan pada 8 November 2008 di Masjid Al-Bina, Senayan. Majlis resepsi pula diadakan di kedua-dua buah negara.
Kehidupan mereka lengkap dengan kehadiran anak sulung, Noah Sinclair pada 22 September 2010.
Pada 18 Februari lalu, Ashraf dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung.
Arwah telah dikebumikan di kompleks pemakaman San Diego Hills, Karawang, Jawa Barat, Indonesia.
Must-Watch Video