Hiburan
“Simpan Kemas-Kemas Pengalaman Ni” - 8 Bas UiTM Hantar 146 Pelajar Pulang Ke Kampung, Alhamdulillah Selamat Sampai
Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjaya menghantar seramai 146 orang pelajar pulang ke kampung halaman masing-masing mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.
Menerusi laman sosial Facebook, akaun rasmi institusi pengajian tinggi tersebut berkongsi beberapa keping foto pergerakan para pelajar untuk tatapan umum.
“Alhamdulilah, lapan buah bas yang membawa 146 orang pelajar pulang ke kampung halaman telah selamat sampai kira-kira pada jam 5.00 pagi hingga 5.30 pagi ini di destinasi masing-masing.
“UiTM amat berterima kasih kepada pihak kerajaan Malaysia khususnya Perdana Menteri dan Kementerian Pengajian Tinggi atas usaha yang dilakukan bagi menunaikan impian para pelajar untuk pulang bersama-sama keluarga tersayang,” tulis pengendali akaun terbabit.
Menerusi perkongsian itu lagi, para pelajar mengikuti prosedur keselamatan yang telah ditetapkan seperti memakai topeng muka sepanjang berada di dalam bas dan mengamalkan penjarakan sosial.
Kesemua para pelajar ini tiba di ibu pejabat polis dan balai bomba berhampiran kawasan masing-masing sebelum dibawa pulang ke rumah.
Hasil tinjaun Gempak di ruang komen, rata-rata wargamaya memanjatkan kesyukuran melihat para pelajar ini dapat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing setelah hampir sebulan Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) dilaksanakan.
Malah, ada yang meminta para pelajar ini untuk mengambil iktibar terhadap semua kejadian yang berlaku dan disemadikan sebagai pengalaman berharga.
“Alhamdulillah semoga dipermudahkan segala urusan hingga akhirnya, amin,” doa seorang wargamaya.
“Pujian kepada abang-abang pemandu bas juga. Terima kasih,” kata seorang wargamaya.
“Pengalaman hangpa ni simpan kemas-kemas. Entah sekali ni ja, lepas ni tak ada pengalaman macam ni dah,” komen seorang wargamaya.
“Alhamdulillah wahai anak-anak semua ingat la segala jasa-jasa yang telah pihak tertentu lakukan, berkorban demi kamu semua. Semoga satu hari nanti kamu akan menjadi pewaris kepada kerajaan Malaysia yang tercinta,” ujar seorang wargamaya lagi.