Bintang popular Bollywood, Priyanka Chopra mengesa masyarakat seluruh dunia supaya memberi bantuan kepada kanak-kanak pelarian Rohingya yang dilanda nasib malang.

Priyanka yang merupakan Duta Muhibah Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF), berharap agar orang ramai dapat membuka mata dan memberi bantuan kepada golongan ini.

Menerusi entri di Instagram (IG), Priyanka berkongsi gambar ketika melakukan lawatan selama empat hari untuk berjumpa kanak-kanak Rohingya di kem pelarian di Cox's Bazar, Bangladesh.

"Pada suku kedua 2017, dunia menyaksikan imej mengejutkan pembersihan etnik dari Negeri Rakhine di Myanmar. Keganasan itu memaksa hampir 700,000 Rohingya lari menyeberangi sempadan ke Bangladesh - 60 peratus adalah kanak-kanak!

"Dunia perlu peka. Kita perlu peka. Kanak-kanak ini adalah masa depan kita. Tolong beri sokongan anda di www.supportunicef.org.

"Saya berada di sini untuk meningkatkan kesedaran global terhadap isu pelarian kanak-kanak Rohingya," tulisnya.

Priyanka juga dilaporkan sempat bertemu kanak-kanak Rohingya di kem Unchiprang, ketika kini menempatkan 30,000 pelarian Rohingya.

Sumber: India Times

Susunan Oleh: Rozaimi Zubaidi