Logo Hari Kebangsaan 2020 yang bertemakan ‘Malaysia Prihatin’ mendapat pujian rakyat Malaysia.

Menerusi laman sosial Facebook, Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia berkongsi logo dan tema bagi Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bakal disambut tidak lama lagi.

Logo berbentuk hati berwarna Jalur Gemilang menjadi teras bagi melambangkan keprihatinan Kerajaan terhadap rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Malah, tema ‘Malaysia Prihatin’ menjadi pilihan pula adalah sebagai simbolik kepada kesepaduan seluruh rakyat Malaysia memerangi COVID-19.



Sambutan Hari Kebangsaan 2020 akan diadakan di Kuala Lumpur dan Sibu turut diumumkan sebagai lokasi sambutan Hari Malaysia yang bakal berlangsung pada 16 September ini.

Hasil tinjauan Gempak di ruangan komen, rata-rata wargamaya memberikan maklum balas yang positif terhadap logo dan tema tahun ini.

“Cantik, terbaik.. mempunyai makna buat rakyat Malaysia,” komen seorang wargamaya.

“Nice, simple dan tak merepek. Bagus, terbaik!” puji seorang wargamaya.

“Logo yang mempunyai maksud mendalam dan tepat pada masanya,” ujar seorang wargamaya.

“Cantik. Perkataan prihatin tu yang menggambarkan nilai kita sebagai masyarakat,” sokong seorang wargamaya.

“Cantiknya, tersentuh hati,” luah seorang wargamaya lagi.

Terdahulu, antara beberapa logo dan tema Hari Kebangsaan yang masih terkesan di hati rakyat Malaysia adalah ‘Keranamu Malaysia’ pada tahun 2000 hingga 2006 dan ‘Sehati Sejiwa’ pada tahun 2015 hingga 2016.