Kali terakhir band dari Korea Selatan, NCT Dream singgah ke Malaysia bagi menghiburkan peminat mereka adalah menerusi Seen Festival yang diadakan pada Januari lalu.

Ketika itu, kehadiran NCT Dream adalah bagi mengisi barisan penghibur lain yang turut serta dalam acara berkenaan. Tambahan pula, NCT Dream pada waktu itu datang berlima, tanpa lengkap tujuh ahli sedia ada.



Namun, kerinduan peminat terubat apabila sub-unit NCT yang bernaung di bawah SM Entertainment itu hadir sekali lagi menerusi konsert jelajah The Dream Show 2 (TDS2) yang berlangsung di Axiata Arena, Kuala Lumpur Ahad lalu.

Tepat pukul 5 petang, lampu dalam arena dimalapkan dan muzik mula kedengaran. Tirai TDS2 yang dianjurkan oleh Star Planet dan dibawakan oleh Yes 5G itu kemudian dibuka dengan lagu Glitch Mode sementara NCTzens bersorak menyaksikan Mark, Haechan, Jeno, Jaemin, Renjun, Chenle dan Jisung ligat menyanyi dan menari.



Terus memanaskan keadaan, tujuh anak muda itu meneruskan persembahan dengan lagu Countdown (3, 2, 1) dan juga Stronger.

Selesai membuka pentas dengan sinergi yang luar biasa, mereka berhenti berehat seketika sebelum beramah mesra dengan penonton yang hadir.

Memberi ucapan dalam Bahasa Melayu, mereka meluahkan rasa teruja dan gembira dapat bersama dengan NCTzens dalam konsert solo pertama di Malaysia. Seterusnya, mereka menyambung persembahan dengan lagu Dreaming dan Deja Vu.



Kembali dengan pakaian berbeza, mereka mendendangkan My First And Last, Bye My First, To My First dan Love Again. Haechan, Renjun dan Chenle turut mengambil pentas sebagai vocal-line menyanyikan lagu Sorry, Heart.

Kemudian Mark, Jeno, Jaemin dan Jisung menyertai tiga yang lain mempersembahkan Puzzle Piece, Chewing Gum dan ANL. Lagu-lagu favourite seperti Dive Into You dan Irreplaceable turut sama dinyanyikan pada malam itu.



Selain vocal-line, rap-line yang dibarisi Mark, Jeno, Jaemin dan Jisung turut mengambil alih pentas menerusi lagu Saturday Drip. Kehangatan malam itu diteruskan menerusi lagi Better Than Gold, Diggity, Riddin dan Boom sebelum ditutup dengan Hello Future, We Go Up, Trigger The Fever dan Hot Sauce.

Menerusi pentas encore pula, NCT Dream mempersembahkan Beatbox sebelum menyatakan hasrat untuk kembali lagi bertemu dengan NCTzens di Malaysia. Pentas encore itu kemudian disyahdukan dengan lagu My Youth, Walk You Homedan Candy.



Pertama kali singgah ke Malaysia dengan anggota penuh, NCT Dream membekaskan memori indah untuk NCTzens di sini. Semoga impian Jaemin dan yang lain untuk melakukan persembahan di lokasi yang lebih besar tercapai pada masa akan datang.