HIBURAN
Singapura Bakal Jadi Saksi Konsert Terakhir GenKRU - “Tahun Depan Memang Tak Ada Tapi…”
Kumpulan legenda, KRU bakal kembali menggegarkan pentas dengan konsert GenKRU Live In Singapore di The Star Theatre, Singapura pada 28 Jun ini.
Penutup Tirai GenKRU
Menurut Edry, konsert kali ni mungkin jadi yang terakhir buat KRU, susulan tiga malam penuh nostalgia dalam Konsert GenKRU di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Tambah Edry, dia meluahkan rasa teruja dengan sambutan hangat daripada peminat di sana dan tak sabar untuk kembali bertemu keluarga KRU di Singapura.
“Konsert di Singapura ni mungkin jadi yang terakhir untuk kami dalam fasa GenKRU, lepas tiga malam beraksi di Kuala Lumpur.
“Kami tak nak terlalu emosi, tapi kemungkinan besar inilah yang terakhir. Tapi, siapa tahu apa yang akan berlaku nanti?
“Setakat ni, kami anggap konsert ni macam penutup tirai selepas keluarkan album dan kaset. Dah sembilan tahun tak perform kat Singapura, jadi kami memang teruja nak naik pentas balik,” katanya ketika sesi sidang media virtual pada Khamis.
Lebih Dekat Dengan Peminat
Dalam pada itu, Yusry memaklumkan Konsert GenKRU di Singapura akan menampilkan suasana lebih intim bersama peminat yang bakal mengimbau semula era kegemilangan KRU pada 1990-an.
“Apa yang buat konsert ini special, konsep dia lebih dekat dengan peminat. Kami nak mereka rasa muda balik, lupakan sekejap masalah, dan enjoy macam zaman remaja dulu.
“Jadi, kalau rindu nak tengok KRU versi 90-an, inilah peluangnya. Mungkin ini kali terakhir anda dapat tengok kami perform dengan gaya ni.
“Tahun depan memang tak ada, tapi masa depan kita tak tahu lagi,” katanya.
Tiket konsert GenKRU Live In Singapore boleh didapati di laman sesawang https://www.sistic.com.sg dengan harga tiket bermula SGD$208.
Must-Watch Video