Single Balada Hadiah Hari Jadi Ayda Jebat Buat Peminat

Kamaruddin Razal
Mac 17, 2019 21:20 MYT
Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat menghadiahkan single balada kepada peminat sempena ulang tahun kelahiran ke-27 yang disambut semalam.
Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat mendedikasikan lagu Mana Ada Hati (Yang Ingin Trus Disakiti) kepada semua peminat yang tak henti menyokong perjalanan seninya.
"Selalunya, saya mendapat hadiah dari peminat sempena hari lahir saya, tetapi tahun ini saya lakukan sesuatu yang berbeza dengan menghadiahkan single balada kepada peminat.
"Peminat sudah lama menantikan saya muncul dengan karya sebegitu dan lagu terbabit merupakan dedikasi istimewa saya kepada mereka.
"Biarpun sebelum ini saya muncul dengan Bagaikan Pelangi serta lagu Pinjamkan Hatiku duet bersama Adi Priyo dan ia mendapat sambutan positif, saya masih menerima permintaan peminat untuk muncul dengan lagu balada.
"Saya berharap lagu ini dapat menjadi hadiah bermakna untuk semua peminat yang menantikan karya terbaru saya dan lebih istimewa, ia dilancarkan pada hari lahir saya," kata Ayda.
Merupakan hasil nukilannya sendiri bersama komposer Indonesia, Irwan Simanjuntak, single ini juga menjadi lagu tema bagi drama bersiri terbaru lakonan Ayda, Asalkan Dia Bahagia.
"Lagu ini menghiasi drama terbabit dan semenjak teaser dikeluarkan, peminat sudah bertanya mengenai lagu tersebut.
"Drama ini menampilkan gandingan sulung saya bersama pelakon Shukri Yahaya dia ia diarahkan oleh Jamal Khan," kata Ayda.
Lagu Mana Ada Hati (Yang Ingin Trus Disakiti) boleh didengarkan di laman YouTube Ayda Jebat semenjak 9 malam tadi dan boleh didengari di semua pelantar digital bermula 29 Mac ini.
#Penyanyi #Ayda Jebat #Penyanyi