Penyanyi dan komposer terkenal Aizat Amdan, 31, bersikap terbuka sekiranya single terbaharu bersama penyanyi Indonesia, Hanin Dhiya iaitu Ku Mau dikatakan sama dengan beberapa buah lagu antarabangsa yang lain.

Menurut Aizat, dia menerima komen itu dengan positif kerana baginya ia sekadar secara kebetulan.

"Sebenarnya saya tidak kisah sekiranya ada peminat yang beranggapan sedemikian. Saya anggap positif sahaja mengenai dakwaan itu kerana ia adalah secara kebetulan sahaja.

"Alhamdulillah, ia diterima baik oleh pendengar berdasarkan respon sebelum ini," katanya kepada Gempak.

Aizat ditemui ketika majlis pelancaran single terbaru Ku Mau bersama Hanin di Warner Music, Mutiara Damansara.

Dalam pada itu, pemilik nama Muhammad Aizat Amdan akui suka dengan vibe lagu duet Senorita nyanyian Shawn Mendes dan Camila Cabello serta I.F.L.Y yang dinyanyikan oleh Bazzi.

"Masa buat Ku Mau sejujurnya banyak lagu yang terfikir di fikiran. Saya ada bayangkan vibe lagu Senorita dan I.F.L.Y.

"Saya nak ia kedengaran santai seperti lagu-lagu tersebut. Saya risau juga sebab bunyi dia sama tapi pada penghujungnya muzik adalah universal," katanya lagi.



Ku Mau ditulis oleh Aizat Amdan, Anas Amdan, Yeshua Abraham (Indonesia), Melanie Wehbe (Sweden) dan Elias Naslin (Sweden).

Single ini mengisahkan tentang dua insan yang bercinta pada jarak jauh. Walaupun berbeza negara, namun jejaka itu sanggup datang untuk menemui dan melamar kekasihnya. Ku Mau juga menerapkan kesungguhan pasangan ini untuk menjayakan kisah cinta mereka.

Ku Mau merupakan terbitan Kasi Gegar Entertainment dan edaran Warner Music Malaysia boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan juga iTunes bermula 26 Jun 2020.

BACA: Kolaborasi Dua Negara, Aizat Amdan & Hanin Dhiya Tampil Dengan Single 'KU MAU'

BACA: Aizat Lamar Hanin Dhiya Di Stockholm