Hiburan
Single Terbaru Berjudul Cinta Ditujukan Kepada Kekasih Hati? Ini Penjelasan Ismail Izzani!
Penyanyi muda, Ismail Izzani tidak menafikan single terbaru berjudul Cinta yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi turut menggambarkan situasinya ketika ini.
Menurut Ismail, lagu tersebut merupakan karya terbarunya mengisahkan situasi dan perasaan seseorang yang mula jatuh cinta.
"Lagu ini dicipta bersama seorang lagi komposer, namun lirik sepenuhnya dari saya. Kami mengambil masa selama sehari untuk menghasilkan lagu ini.
"Secara ringkasnya lagu ini mempunyai 'vibes' gembira dan lebih bersifat universal, tidak seperti lagu bidadari yang lebih ditujukan kepada seseorang," katanya.
Ismail ditemui ketika majlis pelancaran Sober Squad di The Love @MaTiC, semalam.
Ditanya sama ada lagu Cinta itu menggambarkan perasaan yang dialaminya ketika ini, Ismail tidak menolak kemungkinan tersebut.
"Saya kenal Shalma Eliana sejak tingkatan dua dan kami telah melalui pelbagai pengalaman susah dan senang. Kami juga berkongsi minat yang sama iaitu muzik.
"Apa yang saya boleh cakap, hubungan kami lebih kepada 'soulmate' atau teman tapi mesra. Saya selesa berkenal rapat dengannya kerana karakter dia sentiasa berfikiran terbuka dan peribadinya yang baik.
"Nak kata lagu ni gambarkan situasi saya ketika ini, bolehlah. Insya-Allah lagu ini akan dilancarkan 26 Julai ini,” katanya.
Terdahulu, keakraban hubungan Ismail dan Elianna terserlah apabila kedua-duanya sering memuat naik foto bersama di Instagram.
Situasi itu sekali gus mengundang pelbagai spekulasi netizen berhubung status sebenar mereka.