Pelakon utama filem The Garden of Evening Mists, Sinje Lee mengakui dia dan aktor gandingannya, Hiroshi Abe berdepan dengan cabarannya tersendiri apabila mereka berdua mengalami masalah kekangan bahasa untuk berkomunikasi.

Disebabkan situasi tersebut, menurut Sinje, dia jarang berborak dengan heronya itu yang juga merupakan pelakon kelahiran Jepun ketika berada di set penggambaran.

Begitupun, pelakon berusia 44 tahun itu memberitahu, hal itu tidak sedikit pun menghalang mereka berdua untuk mewujudkan keserasian bersama apabila menjayakan watak masing-masing di hadapan kamera.

"Boleh katakan, kami memang jarang bercakap jika di set. Ini kerana, saya tidak boleh bertutur dalam bahasa Jepun, manakala dia pula tidak boleh bercakap dalam bahasa Inggeris.

"Bagaimanapun, kami masih lagi mampu ada keserasian bersama walaupun kurang berkomunikasi. Tambahan pula, dia seorang pelakon yang hebat," katanya kepada Gempak.



Menurut Sinje, sepanjang tempoh penggambaran, dia dan Hiroshi banyak dibantu dengan khidmat penterjemah bahasa.

BACA: Sinje Lee Terpaksa Upah Dua Guru Bahasa Inggeris Demi The Garden of Evening Mists

Naskhah arahan pengarah Taiwan, Tom Shu-Yu Lin itu merupakan karya adaptasi novel tulisan novelis tempatan, Tan Twan Eng.

BACA: "Saya Seorang Yang Mementingkan Kesempurnaan" - Penulis Novel The Garden of Evening Mists Ambil Masa Hampir 4 Tahun

Filem tersebut mengisahkan kehidupan wanita bernama Teoh Yun Ling lakonan Sinje yang mahu membina taman Jepun demi mendiang adiknya, Teoh Yun Hong (Serene Lim).

Bagaimanapun, Yun Ling kemudian menjalin hubungan terlarang dengan tukang kebun, Nakamura Aritomo (Hiroshi Abe).

Karya terbitan Astro Shaw dan HBO Asia itu kini sudah mula ditayangkan di pawagam sejak semalam.

BACA: The Garden of Evening Mists Ditayang Serentak di 3 Negara Mulai Hari Ini

Jadi, jangan lupa saksikan filem The Garden of Evening Mists di pawagam berhampiran anda.