BERITA

Sisa Korban Tak Dibersih, Penduduk Kecewa Hidu Bau Busuk

Gempak 09/06/2025 | 04:20 MYT
Penduduk berdekatan tanah lapang bersebelahan Surau Nurul Huda Seri Mayang, Pandan Indah, Ampang, kecewa apabila kawasan yang dijadikan tapak sembelihan ibadah korban bertukar menjadi jijik.
Mereka mendakwa tapak penyembelihan haiwan korban yang sebahagian besarnya dilakukan warga asing itu tidak dibersihkan dengan sempurna sehingga menyebabkan bau busuk dan rasa tidak selesa kepada penduduk sekitar.
Tinjauan Harian Metro mendapati, organ dalaman lembu seperti perut dan kemaluan dibiarkan di atas tanah tanpa ditanam atau dilupuskan.
Penduduk yang enggan namanya disiarkan berkata, keadaan itu berlaku sejak tengah hari semalam selepas acara sembelihan selesai, namun tiada sebarang usaha dilakukan untuk membersihkan sisa yang ditinggalkan.
"Sudah hampir 24 jam, bau busuk semakin kuat, terutamanya waktu panas.
"Ada perut dan bahagian kemaluan lembu dibiarkan begitu sahaja. Kami bimbang ia akan mengundang lalat, anjing liar dan mungkin membawa risiko kesihatan," katanya.
Menurut penduduk, walaupun niat melakukan ibadah korban disambut baik, namun penganjur seharusnya lebih bertanggungjawab dalam aspek kebersihan dan keselamatan awam.
"Kalau nak buat korban, buatlah ikut garis panduan. Tanam sisa, bersihkan kawasan.
"Jangan buat lepas tangan. Kita yang duduk sini juga yang terpaksa tanggung akibatnya," katanya.
Seorang lagi penduduk, Rafiq Khan, 42, berkata, ini adalah kali pertama kawasan itu dijadikan tapak ibadah korban.
"Sebelum ini, ada pihak buat ibadah korban di tepi jalan sehingga mendapat teguran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
"MPAJ sudah sediakan tapak baharu di sini untuk warga asing, namun mereka pula culas terhadap aspek kebersihan.
"Ada sisa organ haiwan bertaburan, langsung tak tanam. Bau busuk menusuk hidung. Kalau hujan nanti, air melimpah bawa sisa ke longkang, makin teruk," katanya.
Difahamkan, sebanyak 71 lembu dan seekor kambing disembelih untuk ibadah korban melibatkan komuniti warga asing beragama Islam di tapak itu, pada Sabtu.
MPAJ menerusi hantaran di Facebook berkata, program bermula jam 9.30 pagi itu dilaksanakan dengan mematuhi garis panduan ditetapkan.
MPAJ turut menyediakan bantuan kemudahan termasuk penyediaan lubang, air dan tangki khas bagi pengurusan penyembelihan dan kebersihan persekitaran bagi menyokong kelancaran program.
Sumber: Harian Metro
#Daging #Korban #Bau #Bersih #Sisa #Penduduk #Busuk