VIRAL

Sistem AI Kenderaan Elektrik Sangka Pemandu Mengantuk Kerana Saiz Mata Kecil

Gempak 26/06/2025 | 16:55 MYT

Seorang lelaki berdepan detik mencuit hati apabila sistem kecerdasan buatan (AI) dalam sebuah kenderaan elektrik (EV) keluaran Xiaomi berulang kali mengeluarkan amaran keletihan hanya kerana dia mempunyai mata yang kecil.

Insiden itu berlaku ketika lelaki dikenali sebagai Li memandu EV model Xiaomi SU7 Max milik adik perempuannya di bandar tersebut, pada 18 Jun lalu.

Menurut laporan Chinese News sistem amaran dalam kenderaan itu mendakwa pemandu sedang tertidur kerana saiz matanya yang kecil, sekali gus mencetuskan lebih 20 kali amaran sepanjang perjalanan.

“Saya bukannya mengantuk. Mata saya memang kecil sejak lahir,” katanya yang kelihatan cuba membuka mata lebih luas seperti dirakam dalam satu video yang tular di media sosial China.

Li memaklumkan, adiknya tidak menghadapi sebarang masalah ketika memandu kereta sama walaupun dalam perjalanan lebih jauh.

Sistem pengesan terbabit berfungsi untuk mengesan tanda-tanda pemandu mengantuk seperti memejam mata, memandang ke tempat lain, menguap atau memegang telefon bimbit.

Jurucakap Xiaomi Auto ketika dihubungi media China berkata, sistem tersebut boleh dinyahaktifkan menerusi tetapan kenderaan, namun tidak digalakkan kerana ia adalah ciri keselamatan utama.

Katanya, pihak syarikat sedang berusaha memperhalusi algoritma sistem agar lebih tepat dalam mengesan keadaan sebenar pemandu, tanpa mengira ciri fizikal seperti bentuk atau saiz mata.

Kejadian itu mencetuskan pelbagai reaksi netizen dengan sebahagiannya menyifatkan sistem AI masih belum cukup matang dan memerlukan pelarasan untuk disesuaikan dengan kepelbagaian wajah pengguna.

Xiaomi SU7 merupakan model kenderaan elektrik pertama keluaran gergasi teknologi China itu dan menerima sambutan hangat sejak pelancarannya pada Mac lalu.


Sumber: Sinar Harian

#Sepet #Kenderaan #AI #Mata #EV