BERITA

Sister Hong ‘Dicekup' Selepas Perdaya Ratusan Pelanggan Lelaki

Gempak 22/07/2025 | 03:55 MYT
Seorang lelaki berusia 38 tahun di China telah ditahan pihak berkuasa selepas disyaki merakam secara rahsia hubungan seks dengan ratusan lelaki, termasuk pelajar, golongan profesional dan warga asing, untuk dijual secara dalam talian.

Suspek yang dikenali dengan nama samaran 'Sister Hong' atau 'Uncle Red' dalam platform media sosial tempatan, menggunakan solekan tebal, rambut palsu dan pakaian wanita bagi memperdaya mangsa melalui aplikasi janji temu serta rangkaian sosial atas talian.

Menurut kenyataan rasmi polis di Nanjing, mangsa telah diajak ke kediaman peribadinya, di mana suspek memasang kamera tersembunyi untuk merakam hubungan intim secara rahsia.

Dalam beberapa kes, suspek turut memanipulasi suaranya bagi meyakinkan mangsa bahawa dia seorang wanita.

Rakaman tersebut kemudian dimuat naik dan dijual dalam kumpulan langganan tertutup di internet dengan bayaran sekitar 150 yuan (RM98).

Polis sedang menyiasat jumlah keuntungan yang diperoleh daripada kegiatan terlarang ini.

Tular di media sosial China sebagai 'Insiden Sister Hong', kes ini mencetuskan kemarahan ramai dan menjadi topik hangat di platform Weibo dengan lebih 200 juta tontonan dalam tempoh beberapa hari.

Muncul pelbagai parodi, meme dan peniruan digital bilik suspek, mencerminkan kejutan budaya dan keseriusan kes tersebut.

Terdapat dakwaan awal bahawa lebih 1,600 lelaki telah menjadi mangsa, namun pihak berkuasa belum mengesahkan jumlah sebenar dan menasihati orang awam agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih.

Apa yang lebih membimbangkan, penyebaran semula video eksplisit tanpa suntingan menyebabkan beberapa mangsa dikenal pasti oleh ahli keluarga atau pasangan, hingga mencetuskan kesan buruk termasuk perceraian dan tekanan emosi.

Suspek telah ditahan secara rasmi pada 5 Julai lalu dan bakal berdepan tuduhan menghasilkan serta mengedar bahan lucah, selain berkemungkinan dikenakan pertuduhan tambahan atas pelanggaran privasi dan hak imej.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Nanjing turut menawarkan saringan kesihatan percuma kepada individu yang mungkin terkesan, namun enggan mengulas dakwaan berkaitan jangkitan penyakit kelamin atas faktor kerahsiaan perubatan.

Pihak berkuasa sedang giat menurunkan kandungan lucah berkaitan dan menyiasat saluran pengedaran, sambil menggesa orang ramai menghormati privasi mangsa dan tidak menyebarkan bahan sensitif tersebut.

Sumber: Sinar Harian

#Tangkap #Lelaki #Perdaya #ratusan #Sister Hong