Penyanyi pujaan Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza akhirnya mendedahkan kerenah sebenar suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dalam program terbaharu berkonsep jurnal percutian, CTDK-ation.

Kata Siti, rancangan 10 episod itu juga akan membongkar kisah suka-duka keluarga besarnya sepanjang percutian selama 24 hari di Portugal, Sepanyol dan Dubai.

"Penonton akan melihat sendiri bagaimana aksi saya dan suami saya sepanjang bercuti di luar negara.

"Pendek kata rancangan realiti ini akan menonjolkan pelbagai drama yang eksklusif. Ada suka, duka, gembira, marah dan sebagainya.

"Inilah masanya untuk penonton berpeluang menyaksikan sisi berbeza dan kerenah Datuk K selain visual tempat-tempat menarik sepanjang berada di tiga buah negara itu," kata Siti kepada Astro Gempak.

Pengembaraan CTDK-ation telah disertai oleh 24 orang ahli keluarga Siti seawal usia 7 bulan hingga 78 tahun.

CTDK-ation akan bersiaran setiap hari Jumaat pukul 9 malam di saluran Astro Ria bermula 29 Disember.

Teks oleh: Amri Hassan