Hiburan
Siti Elizad Nafi Rumah Tangga Dilanda Masalah
Selepas Astro Gempak menyiarkan artikel ‘Bekas PA Dedah Keburukan Siti Elizad?’, pelakon drama bersiri Papa Ricky itu tampil memberikan penjelasan.
"Alhamdulillah, rumah tangga saya bahagia. Saya sendiri tidak tahu dari mana dia mendapat cerita rumah tangga kami bermasalah?
“Saya bertuah kerana bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab. Mereka yang rapat dengan saya juga tahu suami saya seorang yang pendiam dan tidak banyak cakap,” kata Elizad.
Elizad juga meminta agar pihak yang berusaha untuk menyebarkan cerita negatif berkenaan dirinya dan rumah tangganya menghentikan perkara ini.
“Saya tahu siapa dalang yang berusaha untuk meburukkan nama saya. Sejujurnya, sudah hampir setahun pihak itu menjaja cerita negatif yang tidak betul mengenai saya.
“Namun begitu, saya mengambil pendekatan untuk bersabar dan terus mendoakan agar pihak tersebut segera berubah.
“Berhentilah menyebarkan fitnah mengenai rumah tangga yang saya bina. Saya berharap semoga dia muhasabah diri dan meneruskan kehidupannya. Saya juga tidak pernah berhenti berdoa semoga dia dilimpahkan rezeki oleh Allah,” kata Elizad lagi.
Dalam perkembangan terbaru, drama bersiri lakonan Elizad bersama Fadlan Hazim, Papa Ricky kini ditayangkan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang di Astro Prima dan Astro Maya HD.
Sumber: Harian Metro