Pelakon Siti Khadijah setuju dengan pandangan Janna Nick mengenai keseimbangan hidup dan kerjaya malah dia juga memuji aktres itu yang bekerja keras untuk kehidupannya kini.

Malah Siti Khadijah juga mendedahkan dia sendiri pernah melalui pengalaman sukar ketika di permulaan kerjayanya sebelum berada pada tahap pencapaiannya kini.

“Untuk capai keseimbangan dalam pekerjaan dan kehidupan, kita kena kerja keras dahulu. Kenapa Janna boleh hidup senang pada usia dia sekarang, kerana kerja keras dia.

“Apa yang diperkatakan oleh Janna itu adalah kebenaran yang menyakitkan. Mahu atau tidak, kita kena hadapinya. Nak capai work life balance, kita kena jadi kuli dahulu.

“Sebelum saya berada di mana saya sekarang, saya juga pernah dimaki, balik lambat dan kena campak skrip. Namun, saya juga faham, gaji minima di negara kita ini agak rendah. Kita tiada kuasa melainkan kerajaan,” katanya.

Siti Khadijah ditemui ketika majlis berbuka puasa bersama Viu di Hotel Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Siti Khadijah, bekerja sebagai selebriti bukanlah mudah seperti yang disangkakan malah ia juga sama seperti pekerjaan lain yang ada kala terpaksa korbankan masa rehat.

“Bila bergelar selebriti, orang ingat kerja kita mudah. Pakaian cantik, rambut siap didandan, muka disolek dan hanya bersuka ria di majlis-majlis. Sebenarnya, semua pekerjaan penat.

“Kalau pekerjaan lain terpaksa tidur lewat untuk siapkan kerja. Begitu juga dengan anak seni. Setiap pekerjaan ada cabaran yang tersendiri. Anda tak boleh cakap kerja sebagai selebriti ini mudah.

“Kita ambil apa yang dikatakan Janna itu daripada sudut yang positif. Kalau kita melihat sesuatu perkara itu daripada sudut negatif, negatiflah jadinya,” ujarnya lagi.

Terdahulu, pandangan Janna Nick mengenai keseimbangan hidup dan kerjaya ketika menjadi tetamu program Studio Sembang bersama Amelia Henderson mengundang pelbagai reaksi netizen.

Menganggap setiap orang mempunyai pendapat masing-masing, Janna menyedari dia sepatutnya menyusun ayat lebih baik agar ia tidak disalah erti.