Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Siti Nordiana Menangis Setiap Kali Berzikir, Terkenang Dosa & Kesilapan Silam

Amri Hassan
14/07/2021 11:48 MYT
Penyanyi dan pelakon Siti Nordiana mengakui akan mengalirkan air mata setiap kali berzikir.

Jelas Nana, ia berlaku secara spontan terutama apabila mengenangkan kesilapan dan khilaf silam.

"Sudah tentu kalau saya berzikir, saya akan menangis. Ada masa-masa yang Nana akan menangis mengenangkan dosa-dosa kita.

"Kita manusia tidak sempurna, pasti ada dosa dan kesilapan yang kita lakukan. Waktu itu saya akan menangis.

"Saya juga mudah tersentuh bila dengar selawat dan zikir dalam bentuk lagu atau melodi. Saya sukakan muzik jadi ia dekat dengan saya.

"Apabila melodi dan lagu itu kena dengan situasi atau liriknya mengena, saya akan mudah menitiskan air mata," kata Nana.

Meminati lagu-lagu berunsurkan kerohanian, Nana akui lagu sedemikian banyak memberikan manfaat kepada pendengar dan dirinya sendiri.

"Bagi saya, lagu kerohanian sudah banyak dikeluarkan. Alhamdulillah bukan sekadar melodi dan ia tidak terbatas.

"Malah kini lagu rap dan pop juga menjentik lirik kerohanian. Sangat bagus bila anak-anak muda turut dengar malah hafal. Ia dapat memberikan manfaat dengan mengamalkan lirik-lirik lagu kerohanian tersebut.

"Malah langkah membuat lagu-lagu yang dekat dengan anak muda, sangat bagus. Lagu pop dan balada tapi berlirikkan kerohanian sangat digalakkan untuk buat banyak lagi kerana akan ada orang yang tersentuh bila mendengar," katanya yang sering terinspirasi dengan lagu-lagu dendangan Maher zain dan Opick.

Malah, Nana sendiri pernah muncul dengan album zikir yang diadunkan bersama lagu-lagu lullaby untuk kanak-kanak iaitu Anakku Sayang.



Terbaharu, Nana merakamkan lagu kerohanian bersama Ustaz Sharizan berjudul Hasbi Rabbi yang akan dimuatkan dalam album terbaharunya Zikir Ketuhanan.

"Ustaz Sharizan banyak monitor cara sebutan saya malah ketika rakaman pun dia banyak memberikan ilmu dan tunjuk ajar kepada saya.

"Semoga lagu ini dapat memberikan ketenangan pada jiwa dan bersama-sama mengalunkan zikir dan selawat," tambahnya.

Lagu Hasbi Rabbi dicipta oleh Ikhwan Fatana dan Wan salleh dan diterbitkan oleh SND Soul Entertainment. Single baharu itu diedarkan oleh Luncai Emas Sdn. Bhd.
#Siti Nordiana #Lagu #Selawat #Nana #Zikir #Hasbi Rabbi #Ustaz Shahrizan