Penyanyi dan pelakon Siti Nordiana mengakui sudah selesai menjalani kuarantin dan bebas Covid-19 selepas dijangkiti virus tersbut tiga minggu lalu.

Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana itu berkata, dia hanya menjalani kuarantin di rumah dan tidak mengalami simptom yang serius.

Bagaimanapun katanya, kesan selepas dijangkiti virus tersebut (post-covid) badan menjadi cepat letih.

“Alhamdulillah, saya sudah pulih dan sekarang ini hanya berehat di rumah. Cuma kesan selepas kena Covid-19 ini badan rasa cepat penat.

“Tidak ada kesan serius yang lain, mungkin kerana saya sudah lengkap dua dos vaksin jadi apabila dijangkiti saya tidak mengalami simptom teruk, Wallahualam,” katanya.

Ditanya mengenai kerjaya seninya, Nana berkata setakat ini dia sudah mula menerima beberapa tawaran, namun ada yang ditangguhkan kerana dia positif Covid-19.

“Syukur kepada Allah, ada beberapa tawaran berlakon dan yang terbaru saya terpaksa minta pengecualian dahulu kerana positif baru-baru ini.

“Insya-Allah akan kembali ke set penggambaran tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu Nana turut menjawab tentang perkembangan perniagaan tudungnya ‘Bynana Hijab & Scarves’ yang sedikit terjejas akibat pandemic.

“Tidak dinafikan bila berniaga ada turun naiknya, itu adatlah…Memang terjejas sedikit tetapi setakat ini masih bertahan.

“Saya akui tidak mudah mengharungi dugaan di saat pandemik, tetapi usaha dan tawakal adalah jalan yang terbaik,” katanya.

Tambah Nana, dia juga ingin menghadiahkan tudung ‘Bynana Hijab & Scarves kepada para peminat yang telah banyak menyokong dan tidak jemu memberikan semangat kepada dirinya.

“Sebenarnya saya sudah lama berniat untuk menghadiahkan tudung-tudung jenama bynana kepada peminat kerana bagi saya, tanpa mereka tidak adalah Siti Nordiana pada hari ini.

“Mereka sentiasa menyokong saya tanpa jemu, tidak kiralah dari segi kerjaya mahupun perniagaan bynana yang saya jalankan.

"Saya anggap ada peminat yang teguh menyokong sebagai anugerah daripada Tuhan. Ia sangat bermakna dalam hidup saya.

"Tuhan menghadirkan perasaan kasih sayang daripada peminat kepada saya. Tiada apa yang saya nak minta, cukup kasih sayang ini berterusan. Apabila peminat sayang, jangan sesekali mengecewakan mereka," katanya.

Kata pelakon drama Dia Semanis Honey dan Satukan Rasa itu lagi, dia terharu kerana peminat menerima insan bernama Siti Nordiana seadanya.

"Mereka menerima kekurangan dan kelebihan saya. Saya sendiri tidak pernah cuba menjadi orang lain.

"Malah, saya tidak segan dan canggung mengaku kekurangan diri. Mungkin mereka nampak saya nak belajar dan memperbaiki kelemahan.

"Segala teguran saya akan diterima dengan hati terbuka. Saya jadikan pedoman dan memperbaiki diri dari masa ke masa.

"Apa yang paling penting, dalam kerjaya saya akan terus fokus memberikan yang terbaik begitu juga dalam perniagaan. Saya akan sentiasa cuba keluarkan material berkualiti supaya peminat tidak jemu." katanya.