Siti Nurhaliza Akan Diabadikan di Walk of Fame, Adelaide! Tahniah Tok Ti!

Fiza Kamarudin
Disember 22, 2020 07:30 MYT
Penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza diumumkan antara tiga selebriti dan pengkarya yang nama mereka bakal diabadikan Walk Of Fame di Sungai Torrens, Adelaide, Australia.
Berita gembira tersebut dikongsi Siti menerusi sebuah hantaran di laman sosia Instagram (IG) pada petang Selasa.
Siti yang melakukan hantaran semula daripada muat naik pengurusnya Rozi, turut mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada peminat beliau.
“Alhamdulillah, terima kasih semua yang menyokong saya tanpa jemu, peminat-peminat saya yang selalu ada dalam susah dan senang. Ini untuk anda yang bersama-sama saya selama ini.
“Nanti kalau ke Adelaide lagi, bolehlah saya ambil gambar dengan Walk Of Fame sendiri, tak sangka sebenarnya,” tulisnya.
Siti merupakan penggiat seni Malaysia yang pertama yang mendapat pengiktirafan itu di sana.
Difahamkan, Siti dipilih selepas memecahkan rekod undian terbuka yang dijalankan secara dalam talian dan penyanyi itu berjaya memenangi kategori Pilihan Ramai.
Menyertai Siti untuk diberi pengiktirafan itu adalah dua lagi selebriti dan penggiat seni yang terpilih, iaitu pemuzik terkenal Australia, William Barton yang terpilih menerusi kategori Pilihan AFCT dan Penari Australia, Frances Rings yang dipilih menerusi kategori Pilihan Pengkritik.
Siti pernah membuat persembahan di ‘Adelaide Festival Centre, OzAsia Festival’ pada tahun 2019.
Beberapa minggu lalu Siti mencuri tumpuan peminat selepas tersenarai antara 100 Selebriti Asia Pasifik yang paling berpengaruh.
#Siti Nurhaliza #of #Siti #Datuk Seri siti Nurhaliza #CTDK #Adelaide #Fame #Walf Of Fame 2019 #Walk