Laman Utama

Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Rakan Selebriti & Peminat Kirim Ucapan Takziah Buat Allahyarhamah Siti Sarah

gempak
Asraf Aided
09/08/2021
02:13 MYT
Sponsor Banner
Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Rakan Selebriti & Peminat Kirim Ucapan Takziah Buat Allahyarhamah Siti Sarah
Industri hiburan tanah air hari ini dikejutkan dengan berita pemergian penyanyi kesayangan ramai, Siti Sarah Raisuddin, 37, yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi tadi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
Khabar dukacita itu memberi kesan kepada keluarga, rakan-rakan industri, sahabat handai dan semestinya para peminat Allahyarham.
Platform media sosial hari ini juga dipenuhi ucapan takziah dan doa daripada selebriti tanah air.
"Awak insan terpilih dik..Ya Allah ampunkanlah segala dosanya dan tempatkan Sarah di kalangan hamba Kau kasihi," coret Liza Hanim di Instagram.
"Syahidah tempatmu dik, Syahidah..wahai teman sahabatku marilah kita sedekahkan Al-Fatihah di setiap solat kita buat beliau," tulis Mas Idayu yang turut berdukacita.
"Salam takziah buat @shuibsepahtu sekeluarga dan moga tabah menerima ketentuan Ilahi ini. Kita sama-sama doakan agar Allahyarham Siti Sarah Raisuddin ditempatkan di syurga bersama orang-orang beriman di taman syurga," kongsi penyampai radio Era, Radin juga di Instagram.
Sementara itu, penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza juga mengucapkan takziah dan berdoa agar Allah SWT mengampun dan mengurniakan syurga buat Sarah.
"Ya Allah, ampunilah, rahmatilah, bebaskanlah dan lepaskanlah dia. Dan muliakanlah tempat tinggalnya, luaskanlah dia, dan muliakanlah tempat tinggalnya, luaskanlah jalan masuknya, cucilah dia dengan air yang jernih lagi sejuk, dan bersihkanlah dia dari segala kesalahan bagaikan baju putih yang bersih dari kotoran, dan gantikan rumahnya dengan rumah yang lebih baik daripada yang ditinggalkannya.
"Masukkanlah dia ke dalam syurga, dan lindungilah dari seksanya kubur serta fitnahnya, dan dari siksa api neraka. Aamin Ya Rabb," kongsi beliau di Instagram.
Dalam pada itu, penyanyi Anuar Zain juga menyedekahkan Al-Fatihah dan berkongsi doa supaya Allah SWT buat Allahyarham.
"Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia,muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman," kongsinya.
Antara rakan industri lain yang turut berkongsi rasa duka dan mengucapkan takziah adalah Shiha Zikir, Fakhrul UNIC, pelawak Achey Bocey dan ramai lagi.
Pada masa sama, para peminat juga tidak dapat menahan sebak di ruangan komen posting terakhir Sarah di Instagram.
Rata-rata mereka mengucapkan salam takziah kepada Shuib dan ahli keluarga dan mendoakan kesejahteraan Allahyarham di alam sana.
Terdahulu, Siti Sarah bertarung nyawa akibat COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU), (HUKM).
Siti Sarah terpaksa ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar, jam 5 petang pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, paras oksigen jatuh sehingga 40 peratus pada malam Jumaat, kemudiannya meningkat 77 peratus pada jam 2 pagi dan menunjukkan perkembangan positif meningkat sehingga 85 peratus pada Ahad.
Namun semalam, ketika bacaan yasin secara maya menerusi aplikasi Zoom, suami Allahyarham, Shuib memaklumkan paras oksigen Siti Sarah jatuh sehingga paras 30 peratus.
Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya dan keluarga positif COVID-19.
Salam takziah dari Gempak kepada Shuib dan seluruh ahli keluarga Allahyarham. Al-Fatihah.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live