HIBURAN

Siti Nurhaliza Bakal Lancarkan Album Tradisional Hujung Tahun Ini - "Selepas Konsert Saya Akan..."

Asyraf Roslan 06/07/2025 | 03:55 MYT
Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengumumkan bakal menerbitkan sebuah album penuh berkonsepkan tradisional menjelang hujung tahun ini.

Menurut Siti atau nama penuhnya Siti Nurhaliza Tarudin, pembikinan album tersebut akan disempurnakan selepas tamat siri konsertnya pada tahun ini.

“Saya bermula daripada bawah, masuk pertandingan itulah yang membuatkan saya tidak pernah rasa pada satu tahap yang selesa sebab setiap kali ada album saya rasa macam budak baru belajar.

"Dan InsyaAllah selepas konsert ini saya akan berikan tumpuan kepada album tradisional saya akan siapkan dalam tahun ini juga pada hujung tahun," katanya.

Dalam perkembangan sama, pelantun lagu Badarsila itu turut mengesahkan bahawa sebuah konsert tradisional berskala besar bakal diadakan pada tahun hadapan.


"Selepas itu saya akan buat konsert tradisional saya. Kalau nak tunggu konsert saya InsyaAllah tahun depan, kali ini sangat best sebab dari awal sampai habis kita buat grand," ujarnya.

Siti berkata demikian semasa konsert Violet Skies: Dato' Sri Siti Nurhaliza Live In Arena Of Stars pada Sabtu.

Bercakap mengenai konsert, Siti tampil bertenaga menghiburkan peminat-peminatnya menerusi konsert solo pertamanya tahun ini dengan 'set list' lagu yang jarang dinyanyikan kepada umum.

Antara lagu yang disampaikan adalah Pendirianku, Beradu Di Khayalan, Sendiri, Sesal, Tak Boleh Lupa dan Kita Kan Bersama.

Konsert itu turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi, Noh Hujan dan juga anak saudaranya, Ahmad Daiyan.

Violet Skies: Dato' Sri Siti Nurhaliza Live In Arena Of Stars berlangsung selama dua hari iaitu pada 5 dan 6 Julai 2025 bertempat di Arena Of Stars Genting Highland.
#Konsert #Album #Datuk Seri siti Nurhaliza #Tradisional #Violet Skies: Dato' Sri Siti Nurhaliza Live In Arena Of Stars