Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mencipta rekod sebagai penyanyi wanita dengan penjualan tiket konsert terpantas semalam.

BERITA TRENDING: Siti Nurhaliza Umum Konsert Tahun Depan, Netizen Mahu Venue Lebih Mega! - "Kenapa Tidak SNBJ Atau Buat 2"

Hanya mengambil masa sekitar dua jam sahaja, tiket bagi konsert Sebuah Epitome, Saya Siti Nurhaliza habis dijual.

Siti menerusi perkongsian di Instagram menzahirkan rasa gembira dan bersyukur memandangkan persembahan yang telah lama dirancang itu mendapat sokongan yang luar biasa daripada peminat.

Bahkan, Siti juga turut meminta maaf kepada penggemarnya yang gagal untuk mendapatkan tiket bagi konsert istimewanya itu.

A post shared by Siti Nurhaliza Tarudin (@ctdk)


Lebih manis, Siti turut mencipta rekod peribadi sebagai satu-satunya penyanyi wanita yang mengadakan empat konsert pada empat dekad berbeza di Axiata Arena, yang dahulunya dikenali sebagai Stadium Putra Bukit Jalil.

Bermula dengan Konsert Live Siti Nurhaliza pada 1999, Siti terus gemilang dengan Konsert Mega Siti Nurhaliza (2001), Siti Nurhaliza On Tour (2019) dan terbaharu, Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza yang akan diadakan pada 9 Mac 2024.

Nama Siti Nurhaliza juga trending di platform X sepanjang penjualan tiket berlangsung.

Untuk rekod, Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza merupakan konsert Siti yang ke-19 sejak debut sebagai penyanyi pada 1996.