Siti Nurhaliza Nak Bagi Hadiah Kepada Peminat Sertai #TerangMVChallenge

Fiza Kamarudin
November 7, 2019 10:00 MYT
Selepas tiga hari muzik video single terbaru Terang dilancarkan, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengajak peminatnya untuk menyertai #TerangMVChallenge.
Berita baik tersebut diumumkan Siti menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman sosial Instagram (IG)nya tiga hari lalu.
Lebih menarik lagi, ada hadiah istimewa menanti para peminat yang menghasilkan cabaran #TerangMVChallenge dengan cara paling kreatif.
“Kepada anda semua peminat setia saya jangan lupa untuk sertai #TerangMVChallenge. Anda semua kreatif kan?
“Caranya mudah sahaja, buat video berdurasi 30 saat dan letakkan tanda pagar (hashtag) #TerangMVChallenge.
“Kepada mereka yang sangat hebat dan kreatif, saya akan berikan hadiah. Jom ramai-ramai sertai #TerangMVChallenge,” katanya teruja.
Terang merupakan lagu ciptaan komposer Aubrey Suwito dan liriknya ditulis Shah Shamsiri dilancarkan minggu lalu, turut diperkenalkan sebagai tema kempen SimplySiti Di Hati 2019.
Sementara itu muzik video Terang yang dilancarkan 1 November lalu telah mendapat 162 ribu tontonan sejak dimuat naik di laman sosial You Tube menerusi saluran Siti Official Video.
Rata-rata peminat memuji single terbaru Siti dan berpendapat Terang sangat dekat dengan masyarakat disamping mesej positif yang disampaikan.
Melodi Terang yang dihasilkan komposer Aubrey Suwito sementara liriknya tulisan Shah Samsiri turut diperkenalkan sebagai tema kempen SimplySiti Di Hati 2019.
#Siti Nurhaliza #Terang