Siti Nurhaliza Nyanyi Lagu Didi & Friends Pun Sedap... – Nantikan Animasi Didi & Friends Di Pawagam Mac 2018!

Fiza Kamarudin
Oktober 15, 2017 14:15 MYT
Selepas empat bulan dikuarantin, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin meluangkan masa ke studio untuk membuat rakaman lagu kanak-kanak siri animasi popular, Didi & Friends.
Berita yang bakal menggembirakan kanak-kanak di seluruh Malaysia tersebut, telah dikongsi pengurus Siti, Rozi Abdul Razak di laman sosial Instagram (IG)nya pada pagi tadi (Ahad).
Menariknya, Rozi turut memberitahu ketika di dalam studio Siti menyanyikan lagu-lagu animasi popular Didi & Friends sambil duduk. Comel kan?
Rozi turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan produksi Digital Durian (DD) Animation, yang sanggup menunggu dan memberi masa kepada Siti dalam tempoh berehat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah DD Animation, Sinan Che Ismail turut memuat naik entri di IG tentang kerjasama di antara pihaknya dan ‘buah hati’ rakyat Malaysia tersebut.
Sinan turut memberitahu projek mega ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada Mac 2018.
Siri animasi Didi & Friends yang mencecah tontonan 1.8 juta sehari itu, bersiaran setiap Isnin hingga Ahad di Astro Ceria (611), pada jam 8 pagi dan 3 petang.
Didi & Friends merupakan animasi yang menghiburkan dan penuh dengan moral dan mesej berguna untuk kanak-kanak.
Selain muziknya yang rancak, bahasa yang digunakan juga ringkas dan mudah difahami serta diikuti oleh kanak-kanak.
Apa-apa pun, jom dengar Siti menyanyi lagu Nana Oh Nana ni. Lemak merdu! Kalau dah suara tu sedap, menyanyi lagu simple-simple pun kedengaran hebat!

Sumber Foto/Video: Rozi Abdul Razak & Sinan

#Datuk Siti Nurhaliza #Siti Nurhaliza #Didi & Friends