Hiburan
Siti Nurhaliza, Sheikh Muszaphar Individu Paling Dikagumi Di Malaysia!
Mustika hati rakyat Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan angkasawan negara Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor menjadi individu paling dikagumi (Most Admired Person) di Malaysia.
Senarai itu dikeluarkan oleh portal YouGov menerusi pencalonan terbuka World’s Most Admired dari panelis di 42 negara dan wilayah seluruh dunia sejak Januari hingga Mac tahun ini.
Menurut portal itu, kajian tahun ini adalah kajian terbesar mereka dengan lebih dari 45,000 orang di 42 negara dan wilayah ditemu ramah untuk menyusun senarai.
Menurut carta yang disertakan, Siti Nurhaliza meraih 18.83 peratusan kekaguman bagi setiap orang di 42 negara dan wilayah di seluruh dunia untuk kategori wanita.
Siti menyifatkan keputusan itu sebagai satu penghargaan orang ramai terhadapnya.
"Alhamdulillah, saya tak menjangka dan tak terfikir pun benda macam ini. Tapi, apabila ada keputusan menggembirakan, saya bersyukur. Saya rasa ini satu penghargaan orang pada saya.
"Ini semua hasil undian mereka kan. Insya Allah, saya akan terus memberikan contoh dan hasil kerja terbaik, supaya apa saya tonjolkan memberi manfaat kepada orang lain.
"Itu yang saya nak mereka nampak dan hargai. Terima kasih pada semua yang sudah menghargai saya sepanjang saya bergelar anak seni," katanya memetik laporan Harian Metro.
Selain itu, Nur Amalina Che Bakri selaku tempat kedua mendapat 10.03 peratus dan diikuti Nicol David yang memperoleh 6.76 peratus.
Untuk kategori lelaki pula, Sheikh Muszaphar paling teratas merangkul 10.64 peratus, diikuti Lee Chong Wei, 8.88 peratus serta Mahathir Mohamad memperoleh 8.80 peratus.
"I'm humbled, I'm honourd. Thank you so much. Love always," tulis Sheikh Muszaphar.