Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Siti Nurhaliza Sudah Rakam 7 Lagu Untuk Album Baru, Konsert Solo Tahun Depan

Maliah Surip
15/05/2023 14:47 MYT
Datuk Seri Siti Nurhaliza memberikan khabar gembira buat para peminatnya, Sitizoners dan penggemar muzik apabila memberitahu siap untuk muncul dengan album baru.

Siti, 44, juga mendedahkan sudah merakamkan tujuh buah lagu termasuk runut bunyi filem Anwar The Untold Story, Menjaga Cintamu dan Sehebat Matahari yang didendangkannya pertama kali pada Konsert Satu Suara Vol:3 bersama Jay Jay dan Ernie Zakri.

“Sebenarnya saya sudah merakamkan tujuh buah lagu pada bulan Ramadan lalu, termasuk Menjaga Cintamu dan Sehebat Matahari sementara bakinya masih belum sempat kerana kekangan kerja lain.

“Jika mengikut perancangan, Insya Allah tahun ini saya akan menerbitkan album baru dengan 12 buah lagu,” katanya sewaktu ditemui media pada sidang akhbar Konsert Satu Suara Vol: 3 di Hotel Park Royal, semalam.

Menurut Siti, untuk album kali ini beliau bekerjasama dengan ramai komposer muda menjadikan dirinya seperti kembali belajar sesuatu yang baharu memandangkan beliau perlu kedengaran ‘segar’.

Selain komposer baharu, Siti turut mendapat khidmat pesohor seni Indonesia yang pernah bekerjasama dengannya sebelum ini, Melly Goeslaw.

“Saya banyak menyanyikan lagu komposer baharu dalam album ini. Yang seronoknya saya diminta menyanyi dengan gaya lebih fresh atau segar dan ia membuat saya kembali belajar menyanyi.

“Selain itu, saya kembali berkolaborasi dengan Melly yang tidak pernah menolak untuk memberikan karya buat saya,” katanya lagi.

Seiring dengan kelahiran album baharu, mustika hati Malaysia itu turut mengatakan akan melaksanakan konsert solonya pada tahun hadapan.

“Jadi lepas keluar album baharu tahun ini, saya akan adakan konsert solo pada tahun depan. Boleh nyanyi lagu baru nanti,” ujarnya teruja.

Siti pertama kali merakamkan album solo pada tahun 1996 dengan judul Siti Nurhaliza 1 dan terakhir pada 2020 menerusi ManifestaSITI2020.

#Penyanyi #Konsert #Album #Siti Nurhaliza
;