Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Siti Nurhaliza Tak Sabar Menantikan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong

Kamaruddin Razal
29/07/2019 12:04 MYT
Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza teruja menantikan Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhun Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah Shah.

Istiadat itu bakal berlangsung esok bermula jam 9 pagi di Istana Negara.

"Sebagai rakyat kelahiran Pahang, saya tak sabar menantikan detik bersejarah itu. Saya rasa gembira dan bangga apabila Seri Paduka Baginda diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong.

"Ia secara rasminya menandakan permulaan pemerintahan Seri Paduka Baginda sebagai Ketua Utama Negara untuk tempoh lima tahun akan datang.

"Saya merafak sembah dan mengucapkan tahniah atas pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16," kata Siti.

Dalam pada itu, Siti turut menyifatkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar sebagai raja yang berjiwa rakyat.

"Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong semenangnya terkenal dengan sikap mereka yang gemar menyantuni rakyat.

"Saya sangat berbangga kerana mempunyai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong mempunyai keperibadian mulia yang menjadi permata hati rakyat," katanya lagi.

Sekadar info, Siti menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) sempena hari keputeraan Sultan Ahmad Shah yang ke-76 pada 24 Oktober 2006 yang membawa gelaran Datuk pada 24 Oktober 2006.

Kemudian, pada 24 Oktober 2017, Siti dianugerahkan darjah kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Wawancara eksklusif bersama Al-Sultan Abdullah akan disiarkan di saluran 501, Astro AWANI pada 30 Julai bermula pukul 9 malam dan turut ditayangkan di saluran 104, Astro RIA, saluran 301 (Astro AEC), saluran 201 (Astro VAANAVIL) dan saluran 110 (Astro HELLO).

Para pelanggan Astro juga berpeluang untuk mengenali sisi Al-Sultan Abdullah yang berbeza menerusi satu tayangan perdana dengan baginda pada 30 Julai ini ditonton di www.astroawani.com/live-tv bermula pukul 12 tengah hari.

Sementara itu, pada hari Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai ini, Astro AWANI akan menayangkan secara langsung dari Istana Negara, Kuala Lumpur.
#Siti Nurhaliza
;